1,332 kompaun kenderaan berat masuk jalan utama bandar raya

Masih ada beberapa kenderaan berat dikesan masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak. - Gambar hiasan.
Masih ada beberapa kenderaan berat dikesan masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,332 kompaun dikeluarkan terhadap kenderaan berat dengan muatan melebihi 7.5 tan yang memasuki jalan raya utama di bandar raya ini pada waktu puncak sejak Januari hingga 30 Jun lepas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah kompaun itu dikeluarkan tiga agensi terlibat iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) melibatkan 847 notis kompaun; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur (90); dan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan 395 notis kompaun.

"Hari ini, kita dapati masih ada beberapa kenderaan berat masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak yang sama sekali tidak dibenarkan, kompaun telah dikenakan oleh pihak penguatkuasaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Kompaun akan terus dikeluarkan kepada mereka melanggar peraturan termasuk menyalahguna lorong bas dan meletak kenderaan di petak bergarisan kuning serta menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu sekitar Jalan Istana pada Rabu.

Menerusi operasi bersepadu itu, sebanyak 20 kompaun dikeluarkan terhadap kenderaan berat melebihi 7.5 tan yang memasuki Jalan Istana (Istana Lama), Jalan Mahameru, Jalan Tun Razak, Jalan Dewan Bahasa serta Jalan Kuching pada waktu puncak dari 6.30 hingga 9.30 pagi tadi.

Pada 21 Jun lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui DBKL melarang kenderaan berat melebihi 7.5 tan memasuki pusat bandar pada waktu puncak berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan dalam jawatankuasa khas sebagai antara langkah mengatasi kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Jalaluddin memaklumkan DBKL akan melanjutkan pengurangan kadar sewa kepada peniaga dan penjaja kecil di pasar berbangunan dan pusat penjaja DBKL, sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, ia melibatkan 5,766 akaun dengan anggaran pengurangan hasil sebanyak RM3.07 juta untuk tempoh pelanjutan selama enam bulan.

"Pihak KWP dan DBKL berharap inisiatif pelanjutan ini mampu membantu peniaga dan penjaja kecil yang terlibat untuk terus mengoptimumkan operasi perniagaan mereka, sekali gus membantu mengurangkan bebanan hidup di ibu kota," katanya. - Bernama