Kuan Yau dapat perintah batal pengharaman buku komik

Hew Kuan Yau
Hew Kuan Yau
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk P Ravinthran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin membenarkan rayuan Kuan Yau dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakimannya.

Hakim Ravinthran yang menyampaikan keputusan mahkamah, memberikan Kuan Yau, yang dikenali dengan nama samarannya 'Superman Hew', perintah certiorari untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku itu serta perintah mandamus yang mengkehendaki Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulangkan salinan buku itu yang telah dirampas.

Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah berpendapat bahawa permohonan Kuan Yau untuk pengisytiharan untuk membatalkan Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang larangan itu dikeluarkan, atas alasan ia bertentangan dengan perlembagaan tidak mempunyai merit.

Sementara itu, panel yang diketuai oleh Hanipah itu, mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya Hew membayar kos RM5,000. Beliau juga menganugerahkan kos RM1,000 kepada Kuan Yau untuk prosiding di Mahkamah Rayuan. Keputusan itu disampaikan secara dalam talian.

Kuan Yau memfailkan permohonan mendapat kebenaran untuk memulakan permohonan semakan kehakiman pada 26 November 2019. Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan larangan buku dan perintah mandamus supaya KDN memulangkan salinan buku yang telah dirampas.

Dalam permohonannya yang menamakan Menteri Dalam Negeri, KDN, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden, Kuan Yau turut memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalah tidak berperlembagaan dan harus diisytiharkan batal dan tidak sah.

Pada 6 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Kuan Yau untuk meneruskan semakan kehakiman.

Permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri dan warta Peguam Negara (AGC) berhubung perintah itu yang bertarikh 23 Oktober 2019.

Pada 26 April tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin menolak permohonan Kuan Yau untuk semakan kehakiman itu yang menyebabkannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Kuan Yau adalah pengarang bersama buku komik yang diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina. Perintah pengharaman itu untuk ketiga-tiga bahasa.

Buku itu didakwa bermaksud mengagung-agungkan China serta Inisiatif Jalur dan Jalan, sementara dunia Barat diberi gambaran negatif.

Peguam J Shamesh dan Vince Tan Hoo Seh mewakili Kuan Yau, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li bagi pihak responden. - Bernama