Beli daripada orang tengah, minyak masak peket dijual RM5

Karlin ketika ditemui di Pasar Awam Putatan, Putatan. Gambar kecil: minyak masak
Karlin ketika ditemui di Pasar Awam Putatan, Putatan. Gambar kecil: minyak masak
A
A
A

PUTATAN - Peniaga di Pasar Awam Putatan menjual minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) lebih mahal dengan harga RM5 sepeket disebabkan bekalan itu dibeli menerusi orang tengah.

Bagaimanapun, sejak perkara itu ditularkan di media sosial baru-baru ini, peniaga di pasar berkenaan mendakwa sudah tidak menjual minyak masak peket kerana dibimbangi akan menyebabkan orang ramai semakin terbeban.

Rumia menyusun telur ayam yang dijualnya di Pasar Am Putatan, Putatan.
Rumia menyusun telur ayam yang dijualnya di Pasar Am Putatan, Putatan.

Peniaga, Karlin Jimmy, 36, mengakui kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket dan harga yang diperoleh daripada pembekal juga mahal menyebabkan ia terpaksa dijual satu kali ganda daripada harga asal.

"Sejak harga minyak masak dalam botol dinaikkan, minyak peket semakin sukar diperoleh malah kalau dapat pun harganya meningkat naik.

"Sebelum ini kami dapat jual dengan harga RM3.50 satu peket tetapi sekarang terpaksa dijual dengan harga RM5 kerana satu kotak saja sudah mencecah RM70.

"Ia memandangkan diperoleh daripada pembekal, bukan daripada pengilang atau pengedar sebenar," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Katanya, sejak perkara itu ditularkan di media sosial pada minggu lalu, semua peniaga di pasar berkenaan tidak menjualnya lagi.

"Harga yang tinggi menyebabkan rungutan daripada pelanggan dan disebabkan itu kami tidak mengambil bekalan serta tidak menjualnya lagi," katanya.

Sementara itu, dalam isu berasingan, peniaga telur ayam, Rumia Parsin, 38, mendakwa bekalan telur berkurangan sejak minggu lalu di daerah itu.

"Biasanya kami dapat bekalan daripada pengilang atau pembekal dalam 500 papan setiap hari, tetapi sejak minggu lalu kami cuma dapat bekalan sekitar 150 hingga 200 papan.

"Jadi kami terpaksa mengehadkan penjualan telur ayam terutama pelanggan restoran walaupun mereka pelanggan tetap kami," katanya.