Sila log masuk terlebih dahulu.

Ketiadaan pekerja: 30 restoran mamak ditutup

 Ketiadaan pekerja mengakibatkan 30 restoran mamak di negeri ini terpaksa ditutup selain mengehadkan operasi daripada 24 jam kepada 15 atau 12 jam sahaja sehari. - Gambar hiasan
Ketiadaan pekerja mengakibatkan 30 restoran mamak di negeri ini terpaksa ditutup selain mengehadkan operasi daripada 24 jam kepada 15 atau 12 jam sahaja sehari. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketiadaan pekerja mengakibatkan 30 restoran mamak di negeri ini terpaksa ditutup selain mengehadkan operasi daripada 24 jam kepada 15 atau 12 jam sahaja sehari.

Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim berkata, keputusan tersebut terpaksa dilakukan kerana kekurangan pekerja sejak pandemik Covid-19 melanda kira-kira dua tahun lalu.

"Pengusaha restoran berdepan kekurangan tenaga kerja warga asing untuk menggerakkan perniagaan apabila kebanyakan mereka pulang ke negara asal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun pengusaha restoran membuka peluang kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerja namun maklum balas diterima mengecewakan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, terdapat segelintir pengusaha terpaksa menggaji pekerja warga asing yang memiliki permit sah dalam sektor pembinaan dan perladangan bagi menampung keperluan di restoran.

"Sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pekerja berkenaan tanpa diberi kelonggaran, ia akan melumpuhkan operasi lebih banyak restoran mamak," ujarnya.

Hussien berkata, pihaknya sudah menyalurkan masalah itu kepada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perdana Menteri dengan harapan ia dapat diselesaikan.

Pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan kebenaran membawa masuk pekerja warga asing untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini hanya 400 restoran yang masih beroperasi.

Jelasnya jika isu berkenaan berlarutan untuk beberapa bulan lagi, beliau tidak pasti berapa banyak lagi restoran mamak terpaksa ditutup.

Sementara itu, seorang pengusaha restoran mamak mahu dikenali sebagai Hamid mendakwa terpaksa menutup operasi dua cawangan restorannya termasuk di Pasir Gudang dan bandar raya ini sejak dua tahun lalu.

"Antara punca perniagaan merosot adalah apabila peraturan ketika PKP. Saya menutup perniagaan kerana mengalami kerugian puluhan ribu ringgit dalam tempoh kurang setahun sejak pandemik.

"Saya alami masalah kekurangan pekerja, kami bukan tidak mahu penduduk tempatan namun mereka masih tidak berminat walaupun gaji ditawarkan lumayan," katanya.