Tangguhkan dahulu kenaikan OPR

Pakar ekonomi juga meramalkan lebih ramai peminjam bakal berdepan masalah kekurangan wang. - Gambar hiasan
Pakar ekonomi juga meramalkan lebih ramai peminjam bakal berdepan masalah kekurangan wang. - Gambar hiasan
A
A
A

DI SEBALIK kepayahan mencari minyak masak peket bersubsidi dan peningkatan lebih 40 peratus harga minyak masak tulen botol, pengguna kini dijangka berdepan dengan satu lagi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25 peratus ketika mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keempatnya minggu ini seperti dilaporkan oleh Moody’s Analytics.

Dan pada hari yang sama juga, Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengunjurkan kenaikan 100 bps dalam OPR untuk tempoh antara separuh kedua 2022 dan separuh pertama tahun hadapan.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias turut menjangkakan BNM akan mengumumkan 25 bps minggu ini dan 25 mata lagi menjelang suku keempat 2022 serta 50 mata lagi pada separuh pertama tahun hadapan.

Kali terakhir BNM menaikkan kadar dua kali berturut-turut adalah pada pertengahan tahun 2010.

Impak kepada peningkatan OPR sudah semestinya menyebabkan bayaran ansuran pinjaman meningkat seiring dengan peningkatan kos sara hidup masa kini.

Pakar ekonomi juga meramalkan lebih ramai peminjam bakal berdepan masalah kekurangan wang dan boleh muflis sekiranya kadar OPR dinaikkan lagi ketika rakyat berdepan dengan krisis inflasi.

Malah, lebih membimbangkan mungkin ramai akan membuat pinjaman daripada sumber lain termasuk pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Ekoran daripada itu, peminjam juga tidak bersetuju sama sekali dengan kenaikan itu kerana akan memberikan tekanan berganda tatkala rakyat berdepan realiti kehidupan yang memeritkan ketika ini.

Mereka turut mencadangkan supaya BNM menangguhkan hasrat menaikkan OPR sehingga ekonomi rakyat dan global benar-benar pulih supaya masing-masing tidak terus terbeban.

Ini kerana masalah inflasi disebabkan terganggunya rantaian bekalan dunia akibat peperangan dan Covid-19, bukan disebabkan faktor permintaan pembelian yang meningkat.

Jadi, sebelum sebarang keputusan dibuat, BNM wajar menggunakan pendekatan belas ihsan supaya rakyat tidak terus tertekan sehingga boleh menyebabkan lebih ramai diisytiharkan muflis.