KPLB selaraskan bantuan kepada mangsa banjir lumpur di Baling

Mahdzir ketika berucap merasmikan majlis agihan keuntungan interim 1/2022 Felcra Berhad pada Selasa.
Mahdzir ketika berucap merasmikan majlis agihan keuntungan interim 1/2022 Felcra Berhad pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyelaraskan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir lumpur dalam tragedi kepala air di daerah Baling bersama agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penyelarasan bersama itu dilakukan bagi memastikan bantuan segera yang akan disalurkan ke kawasan terjejas tidak bertindih antara agensi-agensi yang terlibat.

Menurutnya, peruntukan bantuan bencana terbabit akan disalurkan segera berdasarkan kepada penilaian awal dan laporan kerosakan yang diperolehi daripada Pejabat Daerah Baling.

“Saya akan tinjau kawasan tragedi di Baling selain sudah mendapat sedikit laporan berkaitan kerosakan di kawasan musibah. Antaranya berkaitan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat banjir, KPLB akan koordinasi bersama agensi lain supaya tidak bertindih,” katanya selepas majlis agihan keuntungan interim 1/2022 Felcra Berhad di sini, pada Selasa.

Mahdzir berkata, semua kerosakan yang dinyatakan tersenarai bawah program KPLB namun penyelarasan turut akan dibuat bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) selain pejabat daerah.

KPLB akan menyelaraskan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir lumpur dalam tragedi kepala air di daerah Baling bersama agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat. - Foto Bernama
KPLB akan menyelaraskan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir lumpur dalam tragedi kepala air di daerah Baling bersama agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat. - Foto Bernama

“Ada jalan raya yang rosak, jambatan runtuh, rumah hilang dihanyutkan air deras, ada yang rumah alami kerosakan, jadi yang mana sudah dibuat agensi lain, kita (KPLB) tidak akan buat, KPLB akan uruskan mana yang belum. KPLB akan bantu daerah Baling.

“Ia akan disalurkan bawah bantuan bencana, setakat ini berdasarkan laporan awal, rumah yang hanyut ada tujuh buah, manakala lebih 80 rumah rosak teruk dan beberapa jambatan kecil runtuh,” ujarnya.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bentuk bantuan yang akan disalurkan oleh KPLB kepada daerah Baling yang dilanda banjir lumpur dan kepala air petang Isnin.

Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir besar membabitkan 11 kampung, selain mengorbankan tiga nyawa serta beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas.