Banjir di Baling: Terengganu sedia hantar bantuan ke Kedah

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu sedia menghantar pasukan sukarelawan menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) bagi membantu mangsa banjir di Kedah.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas di samping menyampaikan sumbangan keperluan asas.

"Kumpulan sukarelawan akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah-rumah yang dipenuhi lumpur tebal.

"Buat masa ini kita sedang menunggu arahan daripada ibu pejabat Khidmat Malaysia sebelum bergerak bersama sukarelawan ke Kedah," katanya ketika dihubungi, disini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Hanafiah turut merakamkan takziah atas tragedi menimpa tiga sekeluarga yang menjadi korban akibat dihanyutkan kepala air di Kampung Iboi, Baling, pada petang Isnin.

"Saya turut bersedih dengan tragedi berlaku dan dialami oleh penduduk di Baling, Kedah.

“Saya mendoakan agar roh mereka tenang, keluarga yang kehilangan diberikan kesabaran dan ketabahan, kesembuhan segera buat yang cedera dan keselamatan untuk semua mangsa yang dipindahkan,”ujarnya.

Hujan lebat hampir tiga jam di daerah Baling pada petang Isnin menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan.