USM pantau harga makanan, perkenal menu ekonomi

USM pastikan harga makanan yang dijual di semua premis universiti berpatutan.
USM pastikan harga makanan yang dijual di semua premis universiti berpatutan.
A
A
A

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) akan sentiasa memantau harga makanan di semua premis universiti itu bagi memastikan dijual pada harga yang berpatutan.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dr Azlinda Azman berkata, pihak universiti akan sentiasa mendapatkan maklum balas pelajar tentang perkara tersebut.

Menurutnya, USM juga menggembleng usaha semua pihak termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), pengusaha kafeteria dan Majlis Penggawa Desasiswa untuk memastikan harga makanan yang dijual di semua premis universiti berpatutan.

"Kita sedar, sebahagian besar pelajar adalah dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang mana mereka ini akan terjejas teruk jika berlaku kenaikan kos makanan di kampus.

"Oleh itu, universiti menetapkan harga siling dan turun padang memantau secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah berjumpa dengan pihak yang terlibat secara langsung dengan kehidupan pelajar di kampus iaitu MPP, MPD dan Majlis Penggawa.

"Kita mendapat komitmen pengusaha kafetaria untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya yang boleh memberi kesan kepada pelajar.

"Kafeteria di kampus juga mengambil langkah tertentu dengan menjual makanan pada harga berpatutan dan membantu pelajar yang berhadapan kesulitan," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diambil adalah memperkenalkan menu ekonomi di setiap kafeteria Desasiswa USM dengan harga RM5.

"Dengan harga ini, pelajar disajikan dengan menu nasi putih, sayur, ikan atau ayam dan kuah atau sambal. USM juga memperkenalkan Kafe Bebas Plastik di semua kafeteria Desasiswa USM pada 1 Ogos ini seperti yang dilancarkan oleh Desasiswa Saujana pada 30 Jun lalu.

"Dengan pengurangan kos pembelian plastik seperti kotak bungkus makanan, cawan, penyedut minuman dan beg plastik, maka pengusaha kafeteria akan bersama-sama dengan pihak universiti untuk menyediakan makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan," katanya.

Tambahnya, USM turut membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh digunakan semula setiap kali membungkus makanan yang dibeli dari kafeteria.

"USM juga membudayakan penggunaan penyedut minuman besi (metal straws) sendiri semasa membeli minuman di kafeteria," katanya.