MVIA desak kerajaan pertimbangkan semula GEG

MVIA menggesa kerajaan mempertimbangkan semula GEG agar tidak membebankan industri berkenaan. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Rizani)
MVIA menggesa kerajaan mempertimbangkan semula GEG agar tidak membebankan industri berkenaan. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Rizani)
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula Dasar Generasi Penamat (GEG) agar tidak membebankan industri berkenaan.

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, polisi yang disifatkan berat sebelah itu seakan menghukum, sekali gus dikhuatiri memusnahkan keseluruhan komuniti serta membantutkan industri vape tempatan.

“Industri tempatan baru sahaja mula dikawal selia melalui percukaian dan sekarang cadangan GEG pula dibentangkan. Ini seumpama menghukum industri vape tempatan.

“Ia adalah polisi yang sangat berat sebelah dan tidak adil, malah dengan dasar ini sudah tentu ia akan menghalang sebarang kemajuan yang telah dicapai atau sedang dicapai.

“Kita harus melihat dari sudut yang lebih menyeluruh kerana impak negatif ini akan memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem industri, termasuk pengusaha vape rata-rata terdiri daripada usahawan industri kecil sederhana (IKS)," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, cadangan GEG turut menerima pelbagai tentangan susulan lebih satu juta rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang dianjurkan Malaysia Bersuara bagi menolak pelaksanaan undang-undang tersebut.

Justeru Rizani, petisyen tersebut jelas membuktikan segelintir masyarakat di negara ini tidak bersetuju dengan larangan menggunakan produk tembakau dan vape kepada individu yang lahir selepas 2007.

"Kerajaan harus ambil kira pandangan daripada orang ramai dan bukannya hanya daripada NGO (badan bukan kerajaan) anti-vape sahaja.

"Jika keputusan drastik diambil dengan menghapuskan satu industri, maka akan wujud perkara seperti penyeludupan, produk tidak terkawal dan kehilangan pekerjaan serta industri tempatan yang telah membuat pelaburan dalam industri.

“Oleh itu kami berharap kerajaan boleh pertimbangkan semula perkara ini. Cadangan GEG terlampau drastik dan tidak patut diperkenalkan,” ujarnya.