Pemilihan PKR: 13 pemimpin ‘ternama’ kecundang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin mengumumkan senarai rasmi barisan kepimpinan baharu parti itu.

Keputusan yang dimuat naik melalui lawan web rasmi Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dipilih sebagai Naib Presiden PKR.

Dua pemimpin lain yang turut memenangi jawatan itu adalah Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Berdasarkan keputusan itu juga, Amiruddin memperoleh undian tertinggi dengan 46,075 undi sekali gus membolehkan dirinya mengisi tempat dalam kepimpinan ketiga tertinggi parti terbabit.

Selain itu, JPP turut menyenaraikan 13 pemimpin ‘ternama’ yang gagal memenangi jawatan yang ditandingi mereka dalam pemilihan kali ini.

Antara senarai pemimpin berkenaan adalah G Manivanan; Farhash Wafa Salvador, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Chan Ming Kai; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Selain itu, JPP turut mengumumkan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas mengalahkan pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan 59,678 undi berbalas 43,010 undi.

Dalam pada itu, jawatan Ketua Wanita pula sah menjadi milik Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek selepas berjaya mengatasi pencabarnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail dengan memperoleh 18,923 undi.

Jawatan bagi Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR pula disandang Adam Adli Abdul Halim manakala Muhammad Kamil Abdul Munim dipilih sebagai timbalan.

Naib Ketua AMK pula adalah Atyrah Hanim Razali, M Pravin dan B Prasanth Kumar.