Ekopelancongan jadi pilihan pelancong

Mohamaddin Ketapi - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM2
Mohamaddin Ketapi - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM2
A
A
A

MALAYSIA merupakan antara destinasi pelancongan yang kerap dikunjungi saban tahun. Antara tarikan utama di Malaysia adalah ekopelancongannya yang memukau, menambat hati ramai pelancong luar negara. Tahun depan, negara bakal meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) dan pastinya, jutaan pelancong bakal singgah ke Malaysia. Adakah Malaysia sudah bersedia? Ikuti temubual eksklusif Sinar Harian (SH) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, DATUK MOHAMADDIN KETAPI oleh wartawan MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan RIDAUDDIN DAUD serta jurufoto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM berkisarkan sektor pelancongan dan persiapan Malaysia untuk VMY2020.

Bagaimana Datuk melihat impak sumbangan pelancongan kepada pendapatan negara dan pelancong negara manakah yang menjadi sumbangan terbesar negara?

Impak sumbangan pelancongan dilihat konsisten dari tahun ke tahun walaupun kadangkala berlaku sedikit penurunan. Jika kita lihat sumbangan pendapatan mengikut laporan prestasi kehadiran pelancong pada 2018 dikeluarkan Februari lalu, perbelanjaan pelancong bagi tahun 2018 adalah sebanyak (RM84.1 bilion) berbanding (RM82.2 bilion) pada tahun 2017, ini menyaksikan peningkatan sebanyak 2.4 peratus. Mengikut data terkini, ramai pelancong dari Asia memasuki dan melancong dalam negara kita dengan yang tertinggi dicatatkan adalah dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India Australia, Filipina dan Jepun manakala United Kingdom merupakan negara Eropah tertinggi yang datang melancong ke negara ini.

Apakah tarikan utama di Malaysia yang membuatkan ramai pelancong luar negara berminat untuk datang ke Malaysia?

Ekopelancongan merupakan antara tarikan utama di Malaysia. Kalau nak lihat bangunan tinggi atau bangunan moden, di negara mereka pun ada tapi mereka suka datang ke Malaysia untuk lihat keindahan alam semula jadi di sini. Hutan di Malaysia masih dianggap hebat dan cantik, itu sebab mereka mahu datang ke Malaysia. Kedua, konsep inap desa yang kita tawarkan. Pelancong luar negara misalnya suka menikmati keindahan alam, tinggal pula dalam kampung dan rasai suasana di luar bandar, ia memang menarik minat mereka. Ini yang mereka nak. Saya fikir konsep sebegini harus diteruskan kerana ia juga memberi pendapatan kepada penduduk kampung.

Sepanjang Datuk mempromosikan Malaysia, adakah dua perkara ini sering diungkapkan terutamanya ketika menerangkan keindahan Malaysia kepada delegasi dari luar negara?

Ya, sudah semestinya. Malaysia sudah terkenal sebagai destinasi eko-pelancongan utama dunia. Dari Pulau Langkawi di Kedah hinggalah ke Pulau Sipadan di Sabah, keindahan flora dan fauna yang dimiliki negara sukar ditandingi negara lain. Pelancong sebenarnya akan dapat menikmati keunikan dan keindahan alam semula jadi dengan Hutan Hujan Tropika yang masih hijau, tinggi kepelbagaian biologi, mempunyai sungai serta air terjun yang menarik, pantai yang bersih dan indah. Bahkan. Malaysia memiliki hutan tertua di dunia iaitu Hutan Belum di Perak yang berusia lebih dari 130 juta tahun dan ia sebenarnya lebih tua dari hutan Amazon.

Datuk, akhir ini dilihat terlalu banyak rumah tumpangan atau sewa bilik disediakan pemilik menggunakan aplikasi sendiri. Bagaimana kementerian mengawal mereka ini bagi memastikan kualiti dikekalkan dengan servis serta mengelak penipuan?

Artikel Berkaitan:

- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Aplikasi yang dimaksudkan terbabit yang sering digunapakai pemilik premis persendirian ini adalah AirBnB dan kita di kementerian telah menerima banyak aduan mengenai perkara ini. Untuk makluman, kementerian sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenalpasti syarat dan peraturan yang boleh dikenakan kepada pengguna aplikasi terbabit. Perbincangan telah berada di peringkat penyelarasan.

Adakah kerajaan akan memperkenalkan cukai-cukai tertentu kepada mereka ini?

Untuk pengetahuan umum, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak dipertanggungjawabkan untuk mengutip mana-mana cukai termasuk cukai pelancongan, sebaliknya tugas kementerian adalah untuk membantu mempromosikan pelancongan, seni dan budaya.

Datuk, keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek dengan negara China dan beberapa isu yang dilihat mengeruhkan hubungan antara China dan Malaysia, adakah ia menjejaskan kedatangan pelancong dari negara itu ke Malaysia?

Tidak, tidak beri kesan. Keputusan yang dibuat melibatkan pentadbiran negara, bagi pelancong pula, kalau mereka suka datang ke Malaysia, mereka akan datang juga. Sebetulnya, pembatalan kontrak atau kontrak diturunkan harga melibatkan Malaysia dan China tidak jejaskan kehadiran pelancong kerana pelancong bukan kontraktor. Mungkin yang sakit hati adalah kontraktor tapi pelancong, mereka tidak terkesan.

Beberapa tahun kebelakangan, Malaysia tidak pernah gagal mencatatkan jumlah pelancong melebihi 25 juta orang. Apakah elemen yang membantu pencapaian itu?

Pertama, promosi kita di luar negara. Promosi yang kita lakukan boleh dikatakan hebat juga. Thailand, Indonesia promosinya juga sangat hebat namun kita pun tidak kurang juga aset pelancongan yang kita tonjolkan. Indonesia mungkin besar tapi eko-pelancongan kita lebih banyak daripada mereka.

Kedua, sambungan antara negara luar dan Malaysia. Saya pergi ke luar negara baru-baru ini dan berusaha bawa pelancong masuk ke negara menerusi penerbangan dari negara mereka terus ke negara kita. Dari segi promosi, saya fikir menggunakan media sosial pun penting, gunakan cara seperti buka pavilion di luar negara pun penting. Di luar negara, reruai kita banyak dikunjungi penduduk, bertanyakan pakej pelancongan di Malaysia malah ada yang tempah dan kemudian melancong ke negara kita. Jadi, kedua-duanya kita harus lakukan kerana masing-masing mempunyai impaknya.

Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020), bagaimana dengan persiapan kita untuk menerima kehadiran sasaran 30 juta pelancong yang dijangka menyumbang kepada RM100 bilion pendapatan negara?

Mohamaddin Ketapi - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohamaddin Ketapi - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Persiapan dalam tahun ini dirancakkan lagi. Bagi mempergiatkan industri pelancongan, kerajaan kini menyediakan geran sepadan atau matching grant sebanyak RM100 juta kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa. Dalam usaha membantu dan meluaskan perniagaan pengusaha kraftangan dan inap desa pula, dana tabung pelancongan PKS yang bernilai RM500 juta disediakan oleh SME Bank di mana Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus. Kementerian juga akan mengecualikan yuran pendaftaran Premis Penginapan Pelancongan berjumlah RM70 kepada semua pengusaha premis pelancongan termasuklah hotel, resort, rumah tumpangan, asrama dan rumah inapan mulai 1 Januari hingga 31 Mac 2019. Melalui inisiatif pemasaran pula, kementerian memberi fokus kepada Strategi Pemasaran 2018-2020 iaitu promosi khusus mengikut segmen seperti kebudayaan, pelajaran, keluarga, kesihatan, makanan, pantai, tanah tinggi, bulan madu, membeli belah, taman tema, alam semula jadi dan high-end. Banyak lagi usaha dilakukan termasuk melibatkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan lain-lain agensi berkaitan bagi melipatgandakan usaha untuk mempromosi Malaysia sebagai lokasi penggambaran. Itu antara usaha yang kita lakukan dan berdasarkan perkembangan sekarang, saya optimis kita mampu mencapai sasaran 30 juta pelancong dan pengaliran wang masuk mencecah RM100 bilion.

Sebelum ini, Malaysia terkenal dengan ‘Malaysia Truly Asia’. Adakah Malaysia akan menukarnya atau kekal dengan penjenamaan itu pada tahun depan?

Kita akan terus kekalkan, itu sudah menjadi branding negara kita malah kalau kita tidak letak perkataan Malaysia dalam tagline itu, orang tahu Malaysia memang Truly Asia. Untuk tahun depan, kita juga akan menggunakan logo baru. Sebelum ini, kita beri peluang kepada semua rakyat untuk tonjolkan bakat mereka dalam mencipta logo, jadi tiada yang kecil hati. Kita buat secara terbuka, Malaysia ini rakyat punya jadi kalau kita nak buat apa pun, kita panggil semua rakyat.

Datuk, selepas mengambil alih portfolio kementerian lebih 10 bulan, apa perubahan yang telah Datuk lakukan dan apakah perancangan untuk setahun akan datang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020? Beberapa perubahan telah berjaya kita lihat terutama melibatkan promosi pelancongan, seni dan budaya yang agresif di atas talian dan salah satu yang saya amat titik beratkan ketika ini adalah berkenaan eko-pelancongan dan ia sedang giat dijalankan dengan penglibatan banyak pihak antaranya melalui dialog-dialog bersama penggiat industri bagi melestarikan lagi produk eko negara.

Saya yakin dan percaya melalui inisiatif-inisiatif yang telah dirangka secara bersama dengan warga kementerian seperti yang telah dinyatakan sebelum ini untuk promosi negara bagi tahun ini dan tahun depan, kita akan mencapai sasaran 30 juta pelancong berkunjung ke negara ini pada 2020 dengan pendapatan sebanyak RM100 bilion.