Sila log masuk terlebih dahulu.

Tiga maut insiden tembakan di pusat beli-belah Copenhagen

Beberapa anggota polis dan ambulans berada di lokasi kejadian tembakan di pusat beli-belah Field, selatan Copenhagen pada Ahad. - Foto AFP
Beberapa anggota polis dan ambulans berada di lokasi kejadian tembakan di pusat beli-belah Field, selatan Copenhagen pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

COPENHAGEN - Seorang pemuda bersenjata telah menembak mati tiga orang dan mencederakan yang lain, tiga daripada mereka kritikal di sebuah pusat beli-belah di Denmark pada Ahad, kata polis.

Seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditangkap dan didakwa atas serangan itu yang mencetuskan panik dalam kalangan pembeli di pusat beli-belah Field di selatan Copenhagen.

Ketua Polis Copenhagen, Soeren Thomassen berkata, motif kejadian tidak jelas dan beliau tidak menolak ia mempunyai kaitan dengan keganasan.

Beliau menyatakan lelaki yang disyaki sebagai penembak itu ialah lelaki Denmark.

Perdana Menteri, Mette Frederiksen berkata, Denmark telah mengalami serangan kejam.

Pusat beli-belah Field yang menjadi lokasi tembakan tersebut mempunyai lebih 140 kedai dan restoran.

Seorang saksi berkata, dalam kejadian itu, suasana panik berlaku dalam kalangan pembeli ketika tembakan kedengaran.

Seorang lagi saksi, Mahdi Al-Wazni, memberitahu TV2 bahawa penembak itu membawa senapang memburu.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir Denmark menyaksikan peristiwa keganasan ialah pada tahun 2015, apabila dua orang terbunuh dan enam pegawai polis cedera semasa serangan ke atas pusat kebudayaan dan rumah ibadat di Copenhagen.

Lelaki bersenjata itu kemudiannya terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis. - Agensi