Sila log masuk terlebih dahulu.

Bangkit bersemangat seperti Mat Kilau

Mat Kilau membuktikan filem atau drama berlatar belakang sejarah masih boleh menarik perhatian penonton asal sahaja digarap dengan baik.
Mat Kilau membuktikan filem atau drama berlatar belakang sejarah masih boleh menarik perhatian penonton asal sahaja digarap dengan baik.
A
A
A

DUA tiga hari ini, ramai bercerita mengenai filem Mat Kilau. Penulis tidak ketinggalan masuk panggung wayang untuk menonton filem mengangkat kisah pahlawan tanah air itu.

Diakui mengujakan. Jika tidak, mana boleh mengutip RM23 juta dalam tempoh 7 hari tayangan.

Tidak keterlaluan nak dikatakan, Mat Kilau membuktikan filem atau drama berlatar belakang sejarah masih boleh menarik perhatian penonton asal sahaja digarap dengan baik.

Jadi, mengapa harus terperosok dalam pembikinan filem atau drama klise kisah cinta yang memualkan, berebut lelaki, berebut perempuan. Mentua tak suka menantu atau berebut harta.

Hakikatnya banyak kisah sejarah seperti tempat, tokoh dan pahlawan untuk dikaji serta diterjemahkan ke dalam naskhah seni sama ada filem atau drama.

Tetapi tidak banyak kerana mungkin sahaja takut tiada penonton atau pasaran kita masih dalam kepompong mentaliti suka tengok kisah cinta klise.

Ruangan ini bukan khas untuk penulis memuji filem Mat Kilau. Tidak, sebaliknya kita sama-sama bercerita soal kebangkitan semangat dan pengajaran yang boleh diambil dari menonton sesebuah filem yang bagus.

Kita tertekan dengan situasi pandemik Covid-19 belum reda sepenuhnya, menghadap kenaikan harga barang dan tidak kurang memualkan kita, isu politik serta Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) yang asyik diulang-ulang.

Artikel Berkaitan:

Lebih baik kita menghayati mesej kebangkitan seperti dalam filem itu. Maksud penulis ialah kebangkitan semangat untuk menempuh kehidupan dalam peralihan endemik selepas kita bertarung oleh ‘penjajahan’ Covid-19.

Bulan depan kita akan menyambut Hari Kemerdekaan sempena kebebasan negara dari penjajah pada 31 Ogos 1957. Bertitik tolak dari filem Mat Kilau yang ramai bualkan itu, marilah kita hayati makna kebangkitan dari sisi kita sendiri. Bagi penulis, kebangkitan semangat untuk berubah ke arah lebih baik.

Misalnya bersemangat membanteras jenayah, bersemangat menentang rasuah, bersemangat untuk keluar dari kemiskinan. Jangan hanya tunggu bantuan dan subsidi kerajaan. Sikap hanya mengharap dan menunggu inilah yang menjajah minda kita hingga akhirnya menjadi perlahan untuk bertindak kerana kebangkitan semangat sekadar terkurung dalam kepala.

Hendak bikin filem dan drama mengenai sejarah atau pahlawan negara perlu kajian mendalam.

Penulis skrip jika tidak arif perlu rujuk pakar. Begitu juga dalam kehidupan kita. Kurang semangat, kita naikkan. Kurang ilmu kita belajar. Tidak salah merujuk kepada ilmuwan untuk membantu kita terutama mereka hilang semangat.

Niat penulis bukan untuk memaksa orang kita menonton filem-filem sejarah. Tetapi jika ada masa tontonlah semula, ia pasti memberikan sesuatu pengajaran jika dihayati. Dari era filem hitam putih seperti Sarjan Hassan pada 1958; Bukit Kepong (1981); Leftenan Adnan (2000); Embun (2002); Paloh (2003) termasuk Malay Regiment (2017).

Fahamilah mesej disampaikan. Merdekakan diri kita dari penjajahan halus yang boleh membuatkan kita lemah. Sebaliknya bangunkan semangat kita seperti Wahid dalam filem Mat Kilau. Betapa semangat dia untuk berjuang menentang penjajah British berkobar-kobar.

Bahkan tidak layu dengan rengekan isterinya dan tetap tangkas bersilat walaupun wanita disayangi dibunuh orang kerana matlamatnya. Semangat begitulah yang kita hendak lihat dalam diri orang Melayu. Bukan jadi lemah dan menangis sepanjang waktu jika menghadapi dugaan hidup.

Jangan datang semangat sebab terikut-ikut dengan kehebatan hasil kerja Syamsul Yusof semata-mata. Bertepuk tangan hanya dalam pawagam. Mengagumi seni silat dan sebagainya sedangkan hakikatnya silat itu sudah lama ada. Mat Kilau itu realiti.

Dalam konteks moden kehidupan kita hari ini, ikhlaslah berjuang tanpa perlu harapkan pujian manusia dan imbuhan lumayan.

Perasan atau tidak, satu nama iaitu Awang dalam filem Mat Kilau itu berkobar-kobar untuk menjadi pemimpin. Nah, kita kaitkan dengan situasi hari ini. Tidak keterlaluan rasanya ramai hendak jadi pemimpin termasuk ada yang tidak sudah sudah bercita-cita hendak jadi Perdana Menteri.

Dalam rakyat bercerita soal ayam dan minyak masak, masih ada yang sibuk sebut bubar Parlimen, bubar Parlimen. Satu lagi, agak-agaknya siapa menteri di negara ini seperti Mat Kilau?

*Anita Abu Hasan ialah Content Editor Sinar Harian