Nelayan, pemancing diminta jadi 'mata telinga' pihak berkuasa

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga, kiri) menunjukkan projek pengawalan hakisan pantai pada pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Marang di Merchang. - Foto Bernama
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga, kiri) menunjukkan projek pengawalan hakisan pantai pada pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Marang di Merchang. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Nelayan dan pemancing diminta menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa dengan melaporkan segera sebarang kegiatan pencemaran di laut berserta bukti seperti rakaman video atau gambar, bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun kes pencemaran di laut masih terkawal, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu terus diawasi.

"Pencemaran di laut tidak teruk sangat setakat ini cuma saya ada terima aduan walaupun tidak rasmi, terdapat kapal yang tidak bertanggungjawab (buang minyak hitam di laut), tetapi tiada bukti kerana kejadian dilakukan biasanya tengah malam.

"Nelayan yang memancing tengah malam jika tiba-tiba terdapat minyak hitam sekitar bot yang tidak tahu punca dari mana, kalau boleh ambil video dan gambar kapal terlibat untuk diambil tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang di sini pada Ahad.

Katanya, walaupun jumlah minyak hitam yang dilepaskan ke laut sedikit dan tidak ketara, perkara itu perlu dikawal kerana lama-kelamaan akan menjejaskan kehidupan ikan dan hidupan marin yang lain.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang yang bernilai RM30.5 juta itu, telah dimulakan 15 Disember lepas dan dijangka siap 14 Disember 2023 dalam usaha menyelesaikan masalah penduduk di daerah Marang.

"Projek itu melibatkan kerja mengorek alur navigasi dari muara Sungai Merchang hingga ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan, lapis lindung dan penyuburan pantai.

"Apabila projek ini siap, ia akan memberi manfaat kepada nelayan dan usahawan bot pelancong untuk keluar masuk ke laut dengan selamat, selain melindungi lebih 100 bot berdaftar daripada rosak akibat muara cetek dan pukulan ombak," katanya.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga meluluskan pelaksanaan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang dengan kos RM15.6 juta yang telah bermula 4 Jan lepas dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek itu membabitkan kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 2.2 kilometer bagi menangani masalah hakisan dan banjir, selain melindungi garis pantai bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.- Bernama