Sila log masuk terlebih dahulu.

Semua bakal jemaah haji lalui pemeriksaan kesihatan: TH

Kesemua bakal jemaah Malaysia telah menjalani pemeriksaan kesihatan yang mengikut piawaian ditetapkan dan telus sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Bernama
Kesemua bakal jemaah Malaysia telah menjalani pemeriksaan kesihatan yang mengikut piawaian ditetapkan dan telus sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) pada Ahad menegaskan bahawa kesemua bakal jemaah Malaysia telah menjalani pemeriksaan kesihatan yang mengikut piawaian ditetapkan dan telus sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, setiap anggota jemaah juga perlu diperiksa oleh doktor dan klinik yang diiktiraf.

Menurutnya, usaha tersebut dilakukan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan bakal jemaah haji mempunyai tahap kesihatan yang baik serta memenuhi syarat kerajaan Arab Saudi.

"Pemeriksaan kesihatan ini sebagai salah satu langkah proaktif yang diambil TH. Ia bagi memastikan jemaah yang perlu berada dalam suasana ancaman penyakit, bukan sahaja Covid-19 ini adalah mereka yang sihat dan hanya mempunyai penyakit terkawal.

"Selaras dengan peraturan yang dikenakan kerajaan Arab Saudi dan KKM, pemeriksaan kesihatan kali ini juga adalah lebih ketat,” katanya kepada pemberita di Hotel Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH serta penginapan jemaah haji Malaysia.

Menurut Syed Saleh, sejak ketibaan jemaah Malaysia pada 4 Jun lepas, hanya penyakit terkawal seperti masalah pernafasan, kejang otot dan penyakit kulit, dirujuk kepada tiga buah pusat perubatan yang disediakan TH.

Katanya, masalah kesihatan tersebut adalah disebabkan faktor kesesakan, pergerakan ke lokasi yang jauh serta terdedah kepada cuaca panas yang mencecah 46 hingga 48 darjah Celsius.

"Jenis-jenis pemeriksaan (di tanah air) adalah menjurus kepada tahap kesihatan yang baik dan apabila mereka sampai di Tanah Suci, jika mereka dijangkiti sekalipun, mereka ini pada tahap minima sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Peratusan mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan pesakit luar dan yang dimasukkan ke wad amat rendah berbanding sebelum ini. Pemeriksaan kesihatan adalah langkah yang berkesan untuk menjaga kesihatan jemaah haji,” katanya.

Bagi memastikan pemeriksaan kesihatan mengikut piawaian, beliau berkata, pihaknya telah menetapkan beberapa syarat dan pemantauan yang teliti serta sistematik.

"Mereka yang berada di Tanah Suci sudah tentu terdedah dengan pelbagai penyakit, tinggal pula dalam tempoh yang panjang antara 40 hingga 45 hari. Kita tidaklah boleh mengatakan jemaah haji Malaysia tidak terkesan langsung dengan apa-apa penyakit.

"Jadi saya rasa yang penting ialah sistem pemeriksaan kesihatan telah berjalan dengan baik dan bakal jemaah haji yang datang adalah yang sihat dan kita mempunyai kemudahan kesihatan untuk mengatasi dan merawat mereka yang terkesan dari sebarang penyakit,” katanya. - Bernama