Mahsuri Food sasar tingkatkan pengedar

Mohd Jazri (kanan) bersama Abdul Halim (tengah) dan Fazil di reruai Mahsuri Food di PIHEC 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Baru.
Mohd Jazri (kanan) bersama Abdul Halim (tengah) dan Fazil di reruai Mahsuri Food di PIHEC 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Baru.
A
A
A

MAHSURI Food Sdn Bhd (Mahsuri Food) menyasarkan peningkatan pengedar sebanyak 30 peratus di seluruh negara dalam usahanya untuk memasuki pasaran yang lebih kecil seperti kedai runcit.

Ketua Komersial Mahsuri Food, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, sehingga kini, produk tempatan itu sudah memasuki pasaran luar negara iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Permintaan kepada produk kicap dan sos jenama Mahsuri meningkat di Pulau Pinang khususnya dalam dua tahun kebelakangan ini, sekali gus memerlukan pihaknya mencari lebih ramai pengedar bagi menampung permintaan," katanya ketika ditemui di reruai Mahsuri Food di Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2022 di Pusat Konvensyen SPICE di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Exco Perdagangan, Industri, dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International, Fazil Irwan Som.

Menurutnya, selain memperkukuhkan pasaran di luar negara, syarikat tersebut akan memberi tumpuan kepada pasaran di premis lebih kecil dalam usaha memperkenalkan rangkaian produk kicap dan sos di bawah jenama Mahsuri.

Mahsuri Food akan memperkukuhkan pasarannya di luar negara.
Mahsuri Food akan memperkukuhkan pasarannya di luar negara.

"Produk kita sudah berada di tiga buah negara luar. Kita menyasarkan akan masuk ke United Kingdom dan Australia serta negara-negara lain yang mempunyai potensi pasaran produk halal yang luas.

"Oleh demikian, dengan penyertaan syarikat pada kali pertama di PIHEC 2022 ini, kita berharap akan membuka ruang untuk menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas," katanya.

Jelas Mohd Jazri, penyertaan syarikat tersebut dalam PIHEC 2022 bertujuan menyokong ekosistem industri halal yang dibangunkan di Pulau Pinang sekali gus memperkukuhkan jenama produk mereka khususnya di negeri itu dan wilayah utara amnya.

"Syarikat turut menyasarkan peningkatan kerjasama dengan pemborong tempatan yang berada dalam ekosistem hab halal bagi memperluaskan lagi jenama Mahsuri dalam kalangan pengguna. Jenama kami sudah masuk ke pasar raya, sekarang kami mencari pemborong yang boleh membawa produk kami kepada pengusaha makanan, katering atau kedai runcit.

"Peluang menyertai PIHEC 2022 ini juga bagi memperkenalkan produk baharu syarikat iaitu Mahsuri Kicap Manis Extra Pedas dan Mahsuri Sos Berperisa Bawang Putih Ala Korea yang turut menerima sambutan menggalakkan," katanya.

Mohd Jazri berkata, pihaknya juga berharap penyertaan dalam PIHEC 2022 dapat melonjakkan penggunaan produk kicap dan sos Mahsuri dalam kalangan operator makanan serta sektor industri dan bukan hanya untuk penggunaan isi rumah semata-mata.

"Produk kami dikilangkan di Malaysia dan kami menyokong PIHEC untuk perkenalkan produk kami kepada peniaga industri halal di Pulau Pinang.

“Produk kami diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Selain pengguna di rumah, kami percaya semua produk kami juga sesuai digunakan oleh pengusaha makanan,” katanya.

PIHEC 2020 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Julai itu telah menghimpunkan pemain dari sektor makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, kosmetik, perkhidmatan kewangan, fesyen, teknologi dan logistik.

Selepas terhenti akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun, PIHEC yang merupakan acara tahunan kembali diadakan tahun ini dengan penyertaan 161 pempamer termasuk 11 dari luar negara selain melibatkan penyertaan dari 16 buah negara yang menyertai persidangan berkaitan industri halal global.

Selain itu, syarikat-syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana di bawah bimbingan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang (MMK) Pembangunan Usahawan, agensi kerajaan negeri dan agensi pusat turut diberi peluang untuk mengambil bahagian di ekspo tersebut yang mana ia sebagai pendedahan untuk menggalakkan mereka meningkatkan kemahiran syarikat mereka.