Pendedahan PBS berhubung IC palsu tolak dakwaan Warisan terlibat

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

PAPAR - Pendedahan Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung isu pengeluaran kad pengenalan (IC) palsu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didakwa dilakukan salah sebuah komponen dalam Barisan Nasional (BN) sekali gus menolak dakwaan bahawa Parti Warisan (Warisan) terlibat dalam perkara itu.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada Warisan mengenai pengeluaran kad pengenalan palsu.

"Selama ini kita ditohmah pelbagai kaedah, hari ini Datuk Maximus (Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) menyatakan bahawa parti dalam komponen BN yang melakukannya.

"Sebab itu kertas putih (Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja) saya tahu siapa di situ, ada kertas putih yang telah dilakukan oleh badan bebas dan itu pun diakui oleh Datuk Salleh (bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak) sehingga dia boleh menyatakan bahawa Maximus tidak mengenang jasa," katanya selepas menghadiri Program Santai Rumah Mesra Warisan di muara Pantai Kenangan, Bongawan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu pengeluaran kad pengenalan palsu yang didakwa oleh PBS terhadap BN baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Semporna itu sekali lagi menegaskan bahawa dengan pendedahan itu menunjukkan mereka telah difitnah selama ini.

"Maknanya sudah ada kebenarannya bahawa kad pengenalan itu dikeluarkan mereka. Bila mereka menyatakan bahawa Warisan mengeluarkan kad pengenalan, ini tidak benar, itu hanya fitnah semata-mata," jelasnya.

Sebelum ini, Maximus mendakwa bahawa parti dalam komponen BN terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.