Pejuang sudah bersedia untuk PRU15: Dr Mahathir

Dr Mahathir dalam sidang akhbar sempena program Kenduri Rakyat bersama Tun Mahathir dan kepimpinan Pejuang Kedah di Changlun, pada Sabtu.
Dr Mahathir dalam sidang akhbar sempena program Kenduri Rakyat bersama Tun Mahathir dan kepimpinan Pejuang Kedah di Changlun, pada Sabtu.
A
A
A

CHANGLUN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa sekiranya diadakan tahun ini atau tahun hadapan.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu tetap akan memberikan saingan kepada parti lain yang bertanding dengan meletakkan calon.

“Waktu manapun diadakan pilihan raya, Pejuang akan tetap lawan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir program Kenduri Rakyat bersama Tun Mahathir dan kepimpinan Pejuang Kedah di Serambi Chalet di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

Mengenai tarikh sesuai untuk diadakan pilihan raya, Dr Mahathir berpendapat, kerajaan mempunyai hak untuk menentukan tarikh PRU15 dengan membuat pertimbangan yang akan memberi kelebihan kepada parti kerajaan.

“Tapi saya nampak kerajaan hari ini menentukan pilihan raya diadakan pada ketika parti lawan lemah. Mempunyai kuasa untuk nak menang pilihan raya. Itulah hasrat mereka,” katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, pihaknya tidak pasti sama ada PRU15 akan diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan serta terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan tarikh berkenaan.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapatkan pandangan daripada jemaah menteri mengenai tarikh untuk mengadakan PRU15.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menafikan laporan tersebut.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini mendesak agar Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU15 manakala Pas berpendirian supaya PRU diadakan sehingga habis penggal.