KWP dicadang beri potongan sewa PPR, perumahan awam

Penerima bantuan yang hadir ketika Jualan Amal Prihatin Rakyat di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa pada Sabtu.
Penerima bantuan yang hadir ketika Jualan Amal Prihatin Rakyat di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dicadang untuk menyalurkan bantuan dengan memberi potongan bayaran sewa kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, dengan pemotongan itu ia dapat membantu golongan terkesan menyara kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kuala Lumpur ada cabaran tersendiri dan saya harap, Menteri Wilayah (Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) boleh keluarkan arahan dan berikan bantuan tambahan.

“Saya turut terima baik pengumuman pelanjutan dasar wilayah bebas berniaga sehingga hujung Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Jualan Amal Prihatin Rakyat yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa pada Sabtu.

Mengulas mengenai program tersebut, Fahmi berkata, sebanyak 1,000 keluarga di Parlimen Lembah Pantai akan dibantu sepanjang Julai ini.

Beliau berkata, dengan kerjasama bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), diskaun 50 peratus bagi setiap barangan akan diberikan.

“Hari ini, kita mulakan program pertama jualan amal yang mana untuk membantu rakyat dengan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada 17 jenis barangan.

“Harga barang secara keseluruhan dalam RM100. Jadi, mereka yang datang di sini akan menerima diskaun dan bayar hanya RM50," katanya.

Dalam masa sama, beliau sedang merangka beberapa program bantuan lain termasuk jualan ayam dan ikan dengan harga yang berpatutan.

“Saya lihat ramai terutama golongan B40 dan M40 bawah sangat terkesan dengan peningkatan harga.

“Bila kita pergi ke kedai makan sekarang ini, secara langsung atau tidak, peningkatan harga barang akan dirasai. Jadi, insya-ALLAH saya akan usahakan beberapa program lain,” katanya.