Sila log masuk terlebih dahulu.

Wilayah Bebas Berniaga diteruskan, syarat ditambah baik

WBB diteruskan dengan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi isu halangan dan aduan awam.
WBB diteruskan dengan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi isu halangan dan aduan awam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lesen sementara KL Prihatin menerusi inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB) dilanjutkan sehingga 31 Disember depan dengan beberapa penambahbaikan dilakukan bagi mengatasi isu aduan dan halangan lalu lintas, kebersihan, pembinaan serta struktur kekal.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, bayaran fi lesen dikenakan sebanyak RM20 sebulan untuk pembaharuan lesen dan caj perkhidmatan sebanyak RM30 sebulan untuk menampung kos kerja-kerja pembersihan dan pengurusan.

Menurutnya, waktu operasi perniagaan dihadkan hanya kepada dua sesi iaitu 7 pagi hingga 7 petang dan 6 petang hingga 12 malam bagi memudahkan kawalan serta melancarkan kerja pembersihan.

"Saiz tapak atau kanopi yang dibenarkan hanya 64 kaki (19.5 meter) selaras kelulusan yang telah diberikan sebelum ini. Sebarang penambahan saiz gerai di tapak tidak dibenarkan bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

"Pembaharuan lesen bagi aktiviti perniagaan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur adalah tidak dibenarkan. Peniaga dikehendaki mengemukakan permohonan untuk masuk ke pasar ( terbuka, pagi, malam dan Pasar DBKL) atau dikehendaki menukar jenis jualan selewat-lewatnya pada 30 September 2022," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, pemegang lesen dikehendaki mematuhi syarat lesen atau berdepan tindakan penguatkuasaan jika melanggar syarat lesen seperti meninggalkan barang di tapak niaga, membina struktur kekal dan saiz kanopi melebihi had yang dibenarkan.

Kata kenyataan itu, DBKL juga akan membuat penyusunan atau pemindahan peniaga yang dikesan menjaja di lokasi hotspot yang menyebabkan kacau ganggu atau aduan ke lokasi dikenal pasti antaranya pusat penjaja atau pasar DBKL (tertakluk kepada kekosongan).

Justeru DBKL berkata, pemegang lesen diberi tempoh mulai 1 Julai sehingga 15 Julai ini untuk mengemukakan permohonan pembaharuan lesen secara talian melalui laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/ atau hadir ke Kaunter Lesen Berpusat, Tingkat 5, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Jalan Raja Laut.

Artikel Berkaitan: