Emilia tidak malu digelar banduan

Emilia Hanafi dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari di atas kegagalannya untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.
Emilia Hanafi dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari di atas kegagalannya untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh hari menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang, bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi merasakan tidak perlu untuk merasa malu di atas hukuman yang dikenakan hingga menyebabkan dia digelar banduan.

Sebaliknya, Emilia, 43, berkata, semangatnya lebih melonjak untuk berdiri di atas kebenaran dan berharap anak-anaknya juga tidak malu atas kejadian yang menimpanya.

Menerusi siaran langsung di Facebook Media Variasi, menunjukkan Emilia, 43, mengenakan jubah dan selendang putih yang sama dipakai ketika menyerah diri di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Isnin lalu keluar dari penjara itu, jam 11 pagi.

Dalam temu bual berkenaan, Emilia berkata, dia ditempatkan bersama pesalah-pesalah wanita yang berdepan tuduhan jenayah berat antaranya kes dadah, samun, pecah rumah dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sedangkan katanya, jenayah yang dilakukan ialah kesalahan lain iaitu mengubah tarikh lawatan tiga anak bersama bekas suaminya, beberapa tahun lalu.

“Saya akan berjuang kerana hukuman seumpama itu tidak sesuai, mungkin ALLAH nak saya rehat, kerana di penjara, tiada siapa kacau.

“Syukur sebab pembebasan saya ini menyebabkan mental saya lebih kuat, tahap kesabaran lebih tinggi daripada sebelumnya,” katanya.

Ibu kepada tiga anak lelaki berusia 10 hingga 16 tahun itu berkata, tiada sebarang rintangan dihadapi malah dia menggunakan masa sebaik mungkin untuk diri sendiri serta rakan-rakan lain.

Menceritakan pengalaman di tirai besi, Emilia berkata, selepas pendaftaran, dia ditempatkan di transit kuarantin selama empat hari.

Di sana katanya, saat yang paling mencabar ialah berkongsi tong dengan penghuni penjara lain, untuk membuang air kecil dan besar tanpa sebarang penghadang.

“Kemudahan untuk mandi sekali sehari pada jam 4 pagi, manakala penggunaan tandas dua kali sehari, selebihnya menggunakan tong, jadi disebabkan keterbatasan itu, saya perlu menjaga wuduk.

“Saya percaya, jika saya boleh buat sesiapa sahaja boleh, jadi jangan takut, saya juga tidak gentar sebab saya tahu tiada sebarang kesalahan dilakukan,” katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan, bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi, dipenjara tujuh hari bermula Isnin di atas kegagalannya untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman tujuh hari ke atas Emilia kerana menghina mahkamah ekoran mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka, namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Jun, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di sini yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.

Hukuman terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia yang disiarkan oleh sebuah portal.

Pada 25 April lalu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.