Pelukis Pulau Pinang cungkil bakat unik dalam lukisan pisau palet

Bekas wartawan Koh Teng Huat, 59, menunjukkan pisau palet bagi menghasilkan lukisan dengan warna minyak. - Foto Bernama
Bekas wartawan Koh Teng Huat, 59, menunjukkan pisau palet bagi menghasilkan lukisan dengan warna minyak. - Foto Bernama
A
A
A

BALIK PULAU - Pelukis Pulau Pinang Koh Teng Huat telah menempuh perjalanan yang panjang sehingga beliau mencungkil bakat terpendam dalam bidang seni lebih sedekad yang lalu.

Lewat menceburi bidang seni, Teng Huat, 59, pernah bekerja sebagai ejen insurans, wartawan, wakil jualan, pengurus cawangan, ejen akhbar dan ahli perniagaan.

Teng Huat yang dilahirkan dan dibesarkan di Balik Pulau, berkata semasa alam persekolahan dia sangat menyukai kelas seni tetapi keluarganya tidak mampu membeli peralatan melukis bagi meneruskan minatnya dalam bidang seni.

"Jadi selepas Tingkatan Enam, saya tinggalkan kampung halaman untuk cari pekerjaan dan pernah bekerja di Kuala Lumpur, Ipoh, Batu Pahat dan Johor Bahru. Bagaimanapun semua pekerjaan saya sebelum ini tidak melibatkan seni,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di galerinya baru-baru ini.

Teng Huat yang alma mater di Sekolah Tinggi Han Chiang di George Town berkata pada 2004 beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menjaga kedua iba bapanya yang amat memerlukan perhatiannya.

"Pada masa itu saya merasakan kedua ibu bapa saya semakin berumur dan saya harus menjaga mereka... jadi saya ambil keputusan untuk pulang ke Balik Pulau bagi menjaga mereka dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga saya,” katanya.

Pendedahannya dalam bidang seni berlaku secara kebetulan apabila beliau bertemu dengan sekumpulan pelukis dari Kuala Lumpur di Balik Pulau semasa musim durian pada tahun 2009.

Teng Huat yang juga pengasas Persatuan Seni Balik Pulau berkata kumpulan artis itu berada di Balik Pulau untuk melukis sambil menikmati durian tempatan.

"Pada masa itu, saya hanya memerhatikan cara mereka melukis menggunakan berus dan cat minyak...saya juga bercakap dengan mereka dan belajar teknik melukis,” katanya.

Apabila kumpulan pelukis itu pulang, Teng Huat berkata mereka juga meninggalkan peralatan melukis seperti berus, cat minyak dan pisau palet, yang diambilnya untuk menghasilkan karya pertama selepas 26 tahun.

"Dari situ saya cuba menggunakan pisau palet yang bercampur dengan cat minyak...hasilnya, lukisan pertama saya berlatarkan warna kuning dan berlumpur, kelihatan seperti tanah runtuh,” katanya.

Teng Huat berkata, beliau merasakan lukisan pisau palet lebih sesuai dengan gaya hidupnya yang suka mengambil mudah dan pencinta alam semula jadi.

Sejak itu, beliau telah menghasilkan beberapa siri seni termasuk pemandangan di Balik Pulau seperti perkampungan nelayan, sawah padi, jalan di Pulau Pinang dan festival serta acara kebudayaan tempatan.

Beliau juga mengembara ke beberapa negara seperti New Zealand, Australia, China, England, Hong Kong, Macau, Indonesia, Thailand dan Singapura untuk menyertai pameran seni.

Kegemarannya melukis menggunakan pisau palet dengan gaya calitan telah menjadi kelebihannya sejak 13 tahun lepas dan karya seninya telah dijual dalam lelongan tempatan manakala namanya turut dipaparkan dalam buku 310 Artis Malaysia (diterbitkan pada Ogos 2015).

Bagaimanapun, Teng Huat berkata beliau kini lebih cenderung ke arah kebajikan iaitu menggunakan hasil seninya untuk mendapatkan dana bagi organisasi amal membantu golongan kurang bernasib baik terutama selepas pandemik Covid-19.

Katanya sebelum pandemik, beliau telah menyumbangkan lebih 20 lukisan kepada sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan mengumpul lebih RM300,000 untuk kebajikan.

"Saya masih ingat satu daripada lukisan saya dilelong dengan harga RM120,000 di Johor Bahru, jumlah jualan tertingi untuk membantu badan amal itu,” katanya. - Bernama