Penganggur tinggal mayat anak kekasih didakwa 4 pertuduhan

Penganggur (depan, kiri) didakwa empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Tampin pada Jumaat.
Penganggur (depan, kiri) didakwa empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Tampin pada Jumaat.
A
A
A

TAMPIN - Seorang penganggur yang meninggalkan mayat anak kekasihnya dalam kejadian kemalangan pada malam Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret Tampin atas empat pertuduhan pada Jumaat.

Tertuduh, Khairul Azuan Dollah, 29, membuat pengakuan bersalah bagi tiga pertuduhan iaitu mencuri kenderaan dan dua kes dikehendaki membabitkan kesalahan narkotik sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 27 Jun lalu, kira-kira jam 4.35 pagi di Jalan Sungai Dua - Jelai telah didapati dalam milikan dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 2.50 gram.

Justeru itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan tersebut, mahkamah menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 26 Jun lalu, kira-kira jam 11.45 malam, di Jalan Lingkaran Tengah Jelai dari Jalan Besar Tampin Gemas, telah mencuri sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

Oleh demikian, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu yang memperuntukkan penjara tidak kurang tujuh tahun dan denda.

Tertuduh mengaku bersalah dan Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda sebanyak RM2,000.

Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan membabitkan kes dikehendaki berkaitan memasukkan dadah ke dalam badan iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) ASB 1952, tertuduh membuat pengakuan bersalah.

Majistret menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara dari tarikh sabitan kes serta dua tahun pengawasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Shen, manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Media sebelum ini melaporkan sepasang kekasih melarikan diri serta meninggalkan mayat anaknya selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas kira-kira jam 11.30 malam Ahad lepas.

Pasangan berkenaan melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik orang awam yang berhenti di lokasi kemalangan bagi membantu.