Sila log masuk terlebih dahulu.

Waspada musim penyakit menyerang

Selain Covid-19, jangkitan influenza serta kes-kes jangkitan paru-paru seperti pneumonia, ronchopneumonia, bronchiolitis sudah semakin meningkat. Gambar hiasan
Selain Covid-19, jangkitan influenza serta kes-kes jangkitan paru-paru seperti pneumonia, ronchopneumonia, bronchiolitis sudah semakin meningkat. Gambar hiasan
A
A
A

PASTINYA semua rakyat Malaysia menarik nafas lega apabila negara kita semakin melangkah ke arah endemik yang lebih bebas dan selesa selepas dua tahun berhadapan dengan gelombang penularan Covid-19.

Banyak perubahan yang berlaku berbanding dua tahun lepas apabila prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan oleh kerajaan.

Antara berita gembira yang dinanti-nantikan adalah ketika sempadan negara kembali dibuka sepenuhnya kepada pelawat antarabangsa bermula 1 April lalu yang membolehkan pengembara yang telah lengkap divaksinasi masuk ke negara sekali gus rakyat Malaysia dibenarkan melancong ke luar negara.

Namun, dikatakan gelombang baharu Covid-19 di negara ini akan berlaku dan berkemungkinan lebih awal berbanding tempoh antara dua atau tiga bulan lagi berdasarkan peningkatan lebih 2,000 kes dilaporkan dalam negara sejak kebelakangan ini.

Semalam, Malaysia kembali merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 2,605 kes berbanding kelmarin dengan 2,025 kes baharu.

Perkara ini perlu diambil serius terutamanya dengan dua kluster baharu yang membimbangkan iaitu kluster pendidikan dan pengajian tinggi serta peningkatan kes di tempat kerja.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Singapura juga ada memaklumkan bahawa varian Omicron BA.4 dan varian BA.5 di Singapura mencatatkan 30 peratus daripada keseluruhan kes dan kebolehjangkitan tinggi berbanding varian BA.2 di Malaysia.

Menurut pakar kesihatan, varian BA.1 dan BA.2 boleh menjejaskan tisu saluran udara atas seperti hidung dan tekak lebih daripada saluran udara bawah seperti bronki dan alveoli yang menyebabkan ia mempunyai gejala yang lebih ringan berbanding BA.4 dan BA.5.

Artikel Berkaitan:

Kali ini, kita juga akan menyaksikan jumlah jemaah haji tempatan dan antarabangsa seramai satu juta orang di bawah 65 tahun yang juga boleh mempercepatkan penyebaran varian BA.4 dan BA.5 jika tidak dibendung atau dikuarantin sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

Namun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, masyarakat tidak perlu terlalu bimbang atau panik kerana biarpun gelombang baharu Covid-19 bakal menyusul, namun kesannya tidak begitu serius.

Katanya, jumlah yang terpaksa masuk ke hospital atau Unit Rawatan Rapi dan jumlah kematian masih lagi pada paras yang rendah dan sekarang ini 96 peratus mereka yang positif hanya perlu duduk di rumah sahaja yang mana mereka sembuh dalam dua hingga tiga hari kemudian.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkongsi pandangan, walaupun masih ramai yang dijangkiti wabak berkenaan biarpun sudah divaksin, kesan sampingan yang dihadapi pesakit lebih ringan berbanding permulaan penularan virus itu di negara ini.

Musim penyakit kembali

Realitinya, sekarang ini musim penyakit seolah-olah menyerang negara. Selain Covid-19, jangkitan influenza serta kes-kes jangkitan paru-paru seperti pneumonia, bronchopneumonia, bronchiolitis sudah semakin meningkat.

Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan dan boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius.

Menurut sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, ibu mengandung dan mereka yang berpenyakit kronik.

Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi berpotensi menyebabkan kematian.

Oleh itu, orang awam terutamanya golongan berisiko tinggi amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Bagi Covid-19, pengalaman dua tahun lepas telah banyak mengajar kita agar sentiasa berwaspada dan tidak leka untuk mengambil langkah pencegahan yang betul demi mencegah jangkitan seperti terus memakai pelitup muka di tempat awam, elakkan berkumpul dan mengambil vaksin serta dos penggalak.

*Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah wartawan Sinar Premium