Isu logo: Majlis Syura Pas tak pernah bincang

Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri) menyerahkan peralatan pertanian kepada penerima ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Gunung Semanggol/Selinsing, di sini pada Khamis.
Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri) menyerahkan peralatan pertanian kepada penerima ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Gunung Semanggol/Selinsing, di sini pada Khamis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Majlis Syura Ulama Pas tidak pernah membincangkan mengenai penggunaan logo parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausahanya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, penggunaan logo bukan perkara besar kerana perkara itu boleh diputuskan pada saat akhir.

Jelas beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada PRU15 termasuk penggunaan logo dan juga gabungan parti.

"Keputusan macam mana logo, kita nak kawan dengan siapa, dalam Pas akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas. Saya sebagai setiausaha tak pernah kita bincang lagi, daripada media je yang keluar. Kita kena tunggu pilihan raya. Masalah logo ini simple sahaja, benda yang kita boleh putus hari ini buat esok saja.

"Tentang logo ini, kemungkinan macam-macam benda boleh jadi. Mungkin nanti dekat pilihan raya ada logo baru semua duduk dalam tu.

"Masa depan kita tidak tahu lagi, setakat ini isu logo tidak menimbulkan apa-apa masalah dan tidak diputuskan lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Gunung Semanggol/Selinsing, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi menjelaskan Pas tidak berniat untuk menjauhkan diri daripada Perikanan Nasional (PN) di sebalik isu pengguna logo sendiri.

Jelasnya, Pas tidak akan bertolak ansur dalam urusan penyatuan Islam.

"Pas ini memperjuangkan Islam. Bila perjuangkan Islam dan Islam ini tak ada satu ajaran mengajar kita berpecah. Islam, al-Quran dan hadis minta kepada kita supaya bersatu padu antara satu sama lain. Lepas itu benda-benda yang boleh bertolak ansur, kita bertolak ansur.

"Rakyat kini sudah semakin matang. Mana-mana pihak yang nak kepada perpecahan ini rakyat akan tolak," katanya.

Pada 24 Jun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam satu kenyataan membayangkan kemungkinan Pas akan menggunakan logo sendiri pada PRU15.

Malah Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 25 Jun pula menjelaskan bahawa Pas mungkin dibenar menggunakan logo sendiri pada PRU15 sebagai antara strategi meraih sokongan.