[VIDEO] Lima maut dalam nahas kereta, treler

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Gambang-Muadzam Shah dekat Kampung Pulau Manis, pada Selasa.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Gambang-Muadzam Shah dekat Kampung Pulau Manis, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan dan seorang bayi maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.40 petang itu, pemandu kereta, Muhammad Rosli Ibrahim,32 bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35 dan tiga anak Nur Safwa Irdina,7, Nur Sofea Raida, 6 serta bayi mereka (tiada maklumat) maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu treler, Mohamad Yunus Sudin,26 tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta dinaiki lima sekeluarga berasal dari Perak itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang berada di laluan arah Kuantan-Segamat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.