Saksi tak tahu jumlah wang didakwa diberi kepada Guan Eng

Guan Eng -Foto Bernama
Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) pada Selasa memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau tidak tahu mengenai jumlah wang yang didakwa diberikan kepada Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Ibrahim Sahari, 58, juga tidak tahu tujuan dan cara wang itu diberikan kepada bekas Ketua Menteri negeri itu.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata demikian ketika disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Gobind: Kamu tidak sekali-kali nampak wang itu dibayar kepada siapa?

Ibrahim: Setuju

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Ibrahim berkata pada Januari 2018, rakan sejawatannya iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, telah membuat pengakuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepadanya bahawa beliau (Zarul Ahmad) telah membuat pembayaran kepada Guan Eng selepas dibebaskan dari tahanan SPRM.

"Bagaimanapun, Zarul Ahmad tidak memberitahu kepada saya berkenaan jumlah dan cara wang itu diberikan kepada Guan Eng," katanya sambil menambah beliau pernah berjumpa Guan Eng ketika mesyuarat rasmi antara syarikat itu dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam prosiding sebelum ini, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Guan Eng meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) dalam projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Ibrahim juga mengaku bahawa beliau menyediakan invois, baucar dan akaun syarikat palsu seperti yang diarahkan Zarul Ahmad.

Gobind: Zarul Ahmad mengarahkan anda melakukan kesalahan?

Ibrahim: Hanya untuk transaksi (berkaitan pemalsuan dokumen).

Gobind: Anda seorang 'penyangak'.

Ibrahim: Tidak, saya hanya ikut arahan...saya hanya bertindak sedemikian untuk kepentingan syarikat.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Guan Eng, yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 25 Julai ini. - Bernama