Sila log masuk terlebih dahulu.

Jika saya masuk Bersatu, 3.8 juta ahli UMNO kencing di pusara

Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, bagi perbicaraan kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, bagi perbicaraan kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa jika beliau lompat dan sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 3.8 juta ahli UMNO akan kencing di pusaranya.

Ketika prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, pada bulan Jun 2018 iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyatakan tidak akan menyertai Bersatu malah tiada dalam perancangannya untuk membubarkan UMNO.

“Saya diberi kepercayaan atas tugas-tugas sebagai presiden, saya tidak akan bubar UMNO, tak rela parti ini dikuburkan tanpa batu nisan, tak mahu parti sejak 1946 itu terkubur begitu sahaja.

“Saya beritahu bekas Perdana Menteri itu, jika saya sertai Bersatu tapi ditakdirkan saya meninggal keesokan harinya, kubur saya akan banjir sebab 3.8 juta ahli UMNO akan kencing di pusara saya,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, beliau berkata, Mahathir juga menyatakan bahawa UMNO tiada masa depan, sudah mati dan ditolak oleh orang Melayu.

Ahmad Zaidi: Apa yang berlaku?

Ahmad Zahid: Beliau minta saya lompat parti, sertai Bersatu dan tinggalkan UMNO, beliau kata UMNO tidak boleh dipercayai, perompak, penyamun, perasuah, jijik dan kotor, saya ingat ayat itu sampai sekarang.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zaidi: Selepas itu?

Ahmad Zahid: Dia minta UMNO dibubarkan, suruh saya maklum kepada semua ahli supaya masuk Bersatu.

Ahmad Zaidi: Bagaimana dengan pertemuan kedua.

Ahmad Zahid: Pertemuan kali kedua dengan Tun Mahathir berlaku bersama lima pemimpin tertinggi UMNO pada September 2018. Ketika itu, perkara sama dinyatakan kepada kami berlima.

Ahmad Zaidi: Bolehkah Datuk Seri nyatakan nama lima pemimpin itu?

Ahmad Zahid: Saya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasil pertemuan itu, beliau berkata, mereka berlima mengambil keputusan untuk terus menjadi ahli politik pembangkang.

Mengimbas kejadian itu, Ahmad Zahid berkata, perjumpaan terbabit berlaku selepas Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman memaklumkan bahawa Mahathir berhasrat untuk bertemunya.

Beliau berkata, menolak permintaan itu buat kali ketiga kerana merasakan tiada keperluan untuk berjumpa dengan Mahathir.

Bagaimanapun, beliau akhirnya akur dan bertemu dengan Mahathir pada Jun 2018.