Sila log masuk terlebih dahulu.

Sempat beri nombor telefon ibu sebelum maut kemalangan

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. - Foto PDRM
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. - Foto PDRM
A
A
A

NILAI - Seorang kontraktor Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas terlibat nahas di Kilometer 270 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah selatan, di sini awal pagi Selasa.

Mangsa, Lukman Hakim Ramlan, 22 yang menunggang motosikal sendirian dipercayai sempat memberikan nombor telefon ibunya kepada individu berada di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurut sepupunya, Nurafiq Safwan Abu Bakar, 30, Lukman Hakim dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segamat, Johor selepas bertemu rakannya di Shah Alam, Selangor pada jam 11 malam Isnin.

"Arwah bertegas mahu pulang ke Segamat setelah urusannya di Shah Alam selesai kerana perlu bekerja pada hari ini (Selasa) dan bergerak pulang kira-kira jam 1 pagi sebelum terlibat kemalangan.

"Dia sempat beri nombor telefon ibunya kepada individu di lokasi kejadian untuk memaklumkan kejadian menimpanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Nurafiq Safwan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sepupunya itu dipercayai menjadi mangsa langgar lari dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubunginya atau pihak polis.

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 270 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah selatan, di sini awal pagi Selasa. - Foto PDRM
Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 270 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah selatan, di sini awal pagi Selasa. - Foto PDRM

"Sesiapa yang melihat kejadian diminta hubungi ibu saudara di talian 011-35110706 atau saya sendiri di talian 011-63669558 dan laporkannya di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lukman Hakim yang merupakan anak sulong daripada dua beradik dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahtul Jannah, Kampung Jawa, Segamat Johor selepas selesai proses berkaitan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang belum dapat dipastikan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi lelaki berumur 22 tahun dari Shah Alam, Selangor itu dilanggar belakang oleh sebuah kenderaan tidak pasti.

" Akibatnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan lain yang dipercayai terlibat melarikan diri. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan, pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Sharveen Raj di talian 014-21676424 bagi membantu siasatan.