Fahami isu rasuah secara menyeluruh

Nurhayati (dua dari kanan) menyerahkan poster kempen ‘Mak Kata Jangan Rasuah’ kepada Fuziah pada kunjungan Konvoi #Rasuah Busters ke pejabat Ahli Parlimen Kuantan itu pada Isnin.
Nurhayati (dua dari kanan) menyerahkan poster kempen ‘Mak Kata Jangan Rasuah’ kepada Fuziah pada kunjungan Konvoi #Rasuah Busters ke pejabat Ahli Parlimen Kuantan itu pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Isu rasuah perlu difahami secara menyeluruh oleh semua peringkat masyarakat kerana perbuatan itu boleh berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk.

Ahli Parlimen Kuantan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Pahang, Fuziah Salleh berkata, rasuah dalam apa bentuk sekalipun perlu ditolak dan dijauhi.

Menurut beliau, prinsip tolak rasuah perlu sentiasa diterapkan serta dijadikan amalan setiap anggota masyarakat di negara ini.

“Masyarakat perlu sedar dan faham terhadap kepentingan memegang teguh kepada prinsip integriti kerana kepincangan nilai itu akan membawa kepada masalah rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya yang akan menjurus kepada kepincangan sistem serta maruah sesebuah negara,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena kunjungan kru Konvoi #Rasuah Busters diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin di pejabatnya di sini pada Isnin.

Fuziah berkata, golongan berjawatan dan mempunyai kuasa dalam membuat keputusan cukup terdedah kepada perlakuan negatif itu jika tidak memiliki integriti tinggi.

“Tidak terkecuali pemimpin politik di mana adakalanya tindakan mereka sama ada secara sedar atau tidak boleh menjurus kepada rasuah dan salah guna kuasa.

“Misalnya dalam mengeluarkan surat sokongan untuk mana-mana pihak atas tujuan tertentu kepada pihak ketiga, mereka kena jelas supaya tindakan itu tidak menjurus kepada salah guna kuasa.

“Surat sokongan yang dihantar tidak boleh menjadi dorongan kepada pihak berkenaan untuk patuh dan membuat keputusan dalam keadaan tidak wajar,” tegasnya.

Jelas beliau, sekiranya ada keperluan berbuat demikian, sebaiknya guna perkataan sesuai seperti ‘dipanjangkan untuk pertimbangan’ dan bukan ‘disokong’ atau arahan tertentu yang lebih kuat dari itu bagi mengelak disalahertikan.

Tambah Fuziah, sebagai pemimpin politik dan ahli parlimen, beliau sendiri tidak dapat lari daripada menerima ‘permintaan’ itu namun surat yang dipanjangkan itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak ketiga untuk dipertimbangkan.

“Sebagai pemimpin kita juga kena telus dalam perbelanjaan setiap peruntukkan dan sumbangan yang diterima.

“Perkara ini juga perlukan kepada integriti supaya setiap peruntukkan yang dibelanjakan jelas dan sampai kepada penerima atau golongan sasar,” katanya.

Sementara itu, Fuziah menyambut baik misi Konvoi #Rasuah Busters dalam menyampaikan mesej memerangi rasuah.

“Integriti senang disebut tetapi susah difahami dan dilaksanakan justeru Rasuah Busters antara platform terbaik ke arah usaha itu,” katanya.