[VIDEO] Pendedahan Tajuddin bukti Anwar tidak bohong: PKR

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa wujud gerakan mendapatkan tanda tangan Ahli Parlimen menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jelas membuktikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak berbohong sebelum ini.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut memperlihatkan Anwar mempunyai jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk merampas semula kerajaan selepas mandat rakyat dikhianati melalui 'Langkah Sheraton'.

"Justeru, ejekan sebahagian khalayak yang melantunkan kata-kata kononnya Datuk Seri Anwar berbohong apabila menyatakan beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan pada 22 September 2020 telah pun terjawab dengan sendirinya.

"Kenyataan Tajuddin hari ini juga menzahirkan bahawa pengkhianatan dan agenda peribadi telah pun menggagalkan usaha dan ikhtiar untuk merampas semula Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, dengan pendedahan yang dibuat Tajuddin itu, semua pihak tidak seharusnya memberi sebarang ruang dan berkompromi kepada pimpinan yang telah dituduh dan disabitkan di Mahkamah.

Ini kerana katanya, amalan rasuah dan penyelewengan merupakan sesuatu yang menjijikkan dan perlu ditentang oleh semua pihak.

Tajuddin melalui sidang media khasnya di salah sebuah hotel di Petaling Jaya pada Isnin mendakwa akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri memang wujud.

Menurut Tajuddin, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.