Kean Yew tidak tertekan dengan hasrat Zii Jia rampas juara dunia

Loh Kean Yew
Loh Kean Yew
A
A
A

PENYANDANG juara dunia perseorangan lelaki Loh Kean Yew sedar ramai pesaingnya termasuk Lee Zii Jia menyasarkan untuk menumpaskannya.

Tetapi warga Singapura berusia 25 tahun itu tidak rasa tertekan dengan cabaran dan tekanan untuk mempertahankan gelaran yang sukar dicapai itu.

Ditanya mengenai keputusan Zii Jia untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadual pada 28 Julai hingga 8 Ogos untuk memberi tumpuan Kejohanan Dunia di Tokyo pada 22-28 Ogos, Kean Yew berkata beliau tetap akan memberikan yang terbaik untuk mempertahankan kejuaraan.

"Saya pasti beliau (Zii Jia) menyasarkan emas (Kejohanan Dunia), orang lain juga menyasarkan emas atau mendapat keputusan terbaik. Saya akan melakukan persiapan sendiri dan pergi ke sana cuba yang terbaik," katanya kepada pemberita semasa sesi latihan rasmi Terbuka Malaysia di Axiata Arena hari ini.

Pada Rabu, pemain nombor satu negara Zii Jia mengumumkan menarik diri daripada Sukan Birmingham, yang memberikan alasan jadual ketat sejak kebelakangan ini, selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada Kejohanan Dunia.

Mengulas mengenai Terbuka Malaysia yang dianjurkan semula selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, Kean Yew berharap dapat mempamerkan prestasi terbaiknya walaupun berasa angin agak kuat di gelanggang.

"Saya rasa ia agak berangin di sini, tetapi semua orang akan bermain di gelanggang yang sama, jadi akan cuba membiasakannya dan cuba yang terbaik untuk bermain. Saya berehat kira-kira seminggu selepas Terbuka Indonesia, agak bersedia dan mudah-mudahan dapat beraksi," katanya.

Ditanya mengenai persiapannya berhadapan pemain nombor satu dunia dan juara Olimpik Victor Axelsen di pusingan kedua, Kean Yew berkata: "Saya rasa sebelum itu, saya perlu memberi tumpuan kepada perlawanan pertama saya kerana saya akan menentang Lee Cheuk Yiu (Hong Kong). Bukan perlawanan yang mudah, sudah pasti saya mahu memberi tumpuan satu demi satu perlawanan," katanya.

Sementara itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga berpeluang bertemu dengan saudara-mara dan rakan-rakannya sebelum kejohanan yang akan bermula esok hingga 3 Julai. - Bernama