Bekas isteri Datuk SM Faisal dihantar ke penjara Kajang

Emilia hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Isnin, untuk menyerah diri berhubung kes mengubah tarikh lawatan tiga anaknya tanpa persetujuan bekas suaminya.
Emilia hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Isnin, untuk menyerah diri berhubung kes mengubah tarikh lawatan tiga anaknya tanpa persetujuan bekas suaminya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi dihantar ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman jel tujuh hari di atas kegagalannya untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya tanpa persetujuan ahli perniagaan itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, 43, berkata, tempoh penjara itu bermula Isnin.

"Selepas menjalani hukuman tersebut, anak guam saya akan bebas untuk ke mana sahaja, termasuk hadir ke prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai depan.

“Dia sudah bersedia dan reda,” katanya selepas ditanya dengan keadaan mental anak guamnya sejurus dimasukkan ke lokap.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Emilia dipenjara selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan komital SM Faisal selepas bekas isterinya itu gagal untuk mematuhi tarikh lawatan ahli perniagaan itu untuk menemui tiga anaknya yang kini antara 10 hingga 16 tahun.

“Selepas rayuan difailkan, Emilia sekali lagi gagal hadir di Mahkamah Rayuan Syariah sehingga menyebabkan rayuan tersebut ditolak pada 1 Disember 2020.

“Ketika itu juga, peguam yang mewakili Emilia telah menarik diri,” katanya.

Peguam syarie, Nazri Yahya berkata, tempoh penjara itu bermula Isnin.
Peguam syarie, Nazri Yahya berkata, tempoh penjara itu bermula Isnin.

Pada Isnin, bekas isteri ahli perniagaan terkenal itu tiba di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada jam 9.50 pagi untuk menyerah diri.

Emilia yang hadir dengan memakai jubah dan selendang putih tiba di mahkamah ini dengan ditemani peguam syarie, Nazri Yahya, ahli keluarga dan penyokongnya.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2002 sebelum bercerai 2016 dan hak penjagaan penuh terhadap tiga anak mereka diberikan sepenuhnya kepada Emilia.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman tujuh hari ke atas Emilia kerana menghina mahkamah ekoran mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

Namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Wanita itu kemudian memfailkan rayuan berhubung komital di Mahkamah Rayuan Syariah di sini.

Bagaimanapun, pada 1 Disember 2020 Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuan itu kerana peguam (terdahulu) menarik diri malah Emilia tidak hadir pada prosiding tersebut.

Pada 8 Jun lalu, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di sini yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal Syed 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.