MADA sasar lahirkan 2,522 usahawan

Azman (dua dari kiri) dan Ahmad Tarmizi (tiga dari kiri) semasa meninjau produk usahawan di bawah bimbingan MADA pada Karnival Usahawan MADA di Aman Central, Alor Setar pada Ahad.
Azman (dua dari kiri) dan Ahmad Tarmizi (tiga dari kiri) semasa meninjau produk usahawan di bawah bimbingan MADA pada Karnival Usahawan MADA di Aman Central, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan pertambahan bilangan usahawan bimbingannya kepada 2,522 orang dengan peningkatan jumlah nilai jualan tahunan sebanyak RM200 juta pada tahun ini.

Menurut Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, selain melestarikan industri padi di Kawasan Muda, pihaknya turut bertanggungjawab dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam aspek pembangunan usahawan tani.

"Sehingga tahun 2021, MADA telah berjaya melahirkan 2,402 orang usahawan dengan memperolehi nilai jualantahunan sebanyak RM185 juta.

"Ianya jelas menunjukkan bahawa perusahaan kecil dan mikro khususnya dalam penghasilan produk-produk Industri Makanan semakin berkembang pesat dari tahun ke tahun.

Namun begitu, di antara isu utama yang dihadapi oleh usahawan ialah pemasaran produk," katanya pada Perasmian Penutup Karnival Usahawan MADA dan Pelancaran Road To MAHA 2022 Peringkat Zon Utara di Aman Central, di sini pada Ahad.

Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Datuk Azman Nasrudin.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memastikan produk-produk tersebut dapat menembusi pasaran di dalam dan luar negara termasuklah penyertaan usahawan di dalam program promosi anjuran pihak kementerian sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Menurutnya, penganjuran Karnival Usahawan MADA yang berlangsung selama empat hari di Aman Central juga boleh dianggap sebagai salah satu platform kepada usahawan untuk memasarkan produk

"Karnival ini juga menyediakan peluang-peluang pemadanan perniagaan kepada usahawan untuk membina jaringan pemasaran sesama usahawan dalam usaha memperkenalkan produk keluaran usahawan bimbingan MADA terus kepada pengguna akhir.

"Pelaksanaan karnival ini juga dijangkakan dapat menyumbangkan faedah kepada usahawan untuk mengetahui kebaikan dan kelemahan kualiti serta pembungkusan produk dengan mendapatkan maklumbalas secara terus daripada pelanggan yang berkunjung," ujarnya.

Tambahnya, usahawan-usahawan juga boleh memperbesarkan lagi perniagaan usahawan mereka menerusi perolehan nilai jualan seterusnya mempromosikan pasaran produk Industri Makanan dan Asas Tani MADA.