Penganggur dicekup sorok 700kg daun ketum

Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas selepas menahan seorang mekanik di Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas selepas menahan seorang mekanik di Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat.
A
A
A

KOTA BHARU - Taktik licik seorang penganggur menyembunyikan 700 kilogram (kg) daun ketum di bahagian belakang lori terbongkar selepas ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dalam serbuan di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 35 tahun yang berasal dari Baling, Kedah itu ditahan dalam serbuan pada jam 10.15 pagi.

"Sejurus ditahan, anggota bertugas telah membuat pemeriksaan dan menjumpai bungkusan daun ketum di bahagian belakang lori berkenaan," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati daun ketum tersebut dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata, saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Pemeriksaan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah," katanya

Muhamad Zaki berkata, serbuan kedua pada hari yang sama pihaknya merampas 2,994 biji pil yaba selepas menahan seorang mekanik di Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat di sini.

"Serbuan jam 11.30 malam itu turut merampas syabu (3.7 gram) dan 500 milimeter air ketum.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM30,200. Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dianggarkan bernilai RM30,000," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, sepanjang enam hari Op Tapis bermula 20 Jun hingga Sabtu pihaknya berjaya merampas dadah berjumlah RM98,553.

Katanya, sepanjang tempoh itu seramai 240 orang telah berjaya diberkas.