Lelaki ditahan kes gaduh berebut lot parkir

Antara barang yang dirampas daripada suspek melibatkan kes pergaduhan akibat berebut lot parkir kereta di hadapan sebuah kedai di Damansara Utama di sini pada Sabtu. Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
Antara barang yang dirampas daripada suspek melibatkan kes pergaduhan akibat berebut lot parkir kereta di hadapan sebuah kedai di Damansara Utama di sini pada Sabtu. Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan melibatkan satu kes pergaduhan akibat berebut lot parkir kereta di hadapan sebuah kedai di Damansara Utama di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berumur 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Damansara di hadapan sebuah premis di Damansara Utama pada jam 4.30 petang hari yang sama.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 1.10 tengah hari itu apabila pengadu yang juga lelaki berusia 26 tahun dan merupakan ahli perniagaan telah meletakkan kereta jenis Toyota Vios di lot parkir di hadapan kedainya.

"Tiba-tiba, seorang lelaki berusia 50-an telah menjerit memanggil pengadu turun dari kedainya lalu berlaku pertengkaran mulut di antara mereka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, isteri lelaki berusia 50-an turut campur dalam pergaduhan tersebut dengan membaling telur ke arah pengadu dan rakannya, sebelum anak mereka yang juga suspek datang memarahi sambil memegang tukul besi dan mengugut untuk merosakkan kereta pengadu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan berlakunya pergelutan di antara mereka berlima sehingga menyebabkan pengadu dan rakannya mengalami cedera ringan di tangan.

"Suspek pada ketika itu turut memegang alat pemadam api dan sebilah pisau pemotong daging," kata beliau.

Sehubungan itu katanya, polis turut merampas satu tukul besi, sebilah pisau pemotong sayur dan sebuah tong alat pemadam api yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

"Suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan," katanya.