Jenazah tiga beranak lemas akan dikebumi di Alor Setar

Masyitoh bersama dua anaknya ditemukan lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai di Jambatan Datuk Syed Omar.
Masyitoh bersama dua anaknya ditemukan lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai di Jambatan Datuk Syed Omar.
A
A
A

KULIM - Jenazah tiga beranak yang lemas selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, petang Sabtu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Zaiton, Kampung Lengkuas, Alor Setar pada petang Ahad.

Adik mangsa, Mohamad Asyraf Ibrahim, 34, berkata, ketika ini mayat kakaknya, Masyitoh Ibrahim, 37, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, masih berada di Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Katanya, mereka sedang menanti proses bedah siasat selesai termasuk keputusan Covid-19 untuk membawa pulang ketiga-tiga jenazah ke kampung di Alor Setar.

"Insya-ALLAH mungkin semua urusan di hospital akan selesai petang ini dan kita akan membawa pulang ketiga-tiga jenazah untuk dikebumikan di Alor Setar," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad Asyraf berkata, kakaknya Masyitoh merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarga.

Ahli keluarga mangsa sedang menunggu di luar bilik mayat Hospital Kulim.
Ahli keluarga mangsa sedang menunggu di luar bilik mayat Hospital Kulim.

"Kami sembilan beradik memang sangat rapat, kakak pula seorang yang mengambil berat perihal adik-beradik yang lain.

"Saya agak terkejut terima berita sedih ini daripada salah seorang abang dan terus bergegas ke lokasi kejadian dari Ipoh," katanya.

Menurutnya, dia tiba di lokasi kejadian pada jam 11.30 malam dan turut menanti sehingga operasi menyelamat selesai kira-kira jam 3.30 pagi.

"Semasa saya tengok kereta kakak ditarik keluar daripada sungai, saya cuma berharap kesemua mereka ada bersama dalam kereta dan tidak ada yang hanyut," katanya yang kali terakhir bertemu dengan Allahyarham pada sambutan Aidilfitri lalu.

Katanya, ketika kejadian dua anak saudaranya itu mengikut ibu mereka bergotong-royong di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, manakala abang sulung mereka, Muhammad Ziyad Hadif, 10, pula tidak ikut bersama.

"Kakak sebelum ini tinggal di Pekan Kuala Ketil dan baru sahaja berpindah ke Amanjaya di Sungai Petani. Walau apapun kami reda dengan kejadian ini dan berharap semua urusan berjalan lancar," katanya.

Dalam kejadian pada jam 6.42 petang Sabtu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona dikatakan terbabas ketika melalui Jambatan Datuk Syed Omar yang merupakan sempadan daerah Kuala Muda dan Baling.

Kenderaan mangsa berjaya ditarik naik pada jam 3.30 pagi dan ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan seakan-akan berpelukan di bahagian belakang kereta.

Kenderaan mangsa ditarik naik kira-kira jam 3.30 pagi.
Kenderaan mangsa ditarik naik kira-kira jam 3.30 pagi.