Peralihan subsidi bantu survival B40

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SURVIVAL rakyat Malaysia bergantung kepada variasi hierarki status pendapatan kian ditimpa cabaran besar berikutan tercetus inflasi makanan dan lonjakan harga barang sekali gus memberi tamparan hebat terhadap kemakmuran pembangunan kelangsungan hidup.

Kemakmuran hidup rakyat jelata diperkukuh melalui pengagihan pendapatan secara saksama dan sumbangan bantuan subsidi daripada tampuk kepimpinan kerajaan kini dipercayai agak tergugat ekoran krisis inflasi makanan yang melonjakkan harga barang keperluan.

Oleh sebab itu tampuk kepimpinan kerajaan terpaksa melaksanakan peralihan subsidi terhadap harga barangan keperluan itu dan memansuhkan program subsidi sementara supaya dana tersebut mampu disalurkan kepada golongan miskin ataupun miskin tegar di bawah klasifikasi pendapatan isi rumah iaitu B40.

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan senario peralihan subsidi digandakan dengan pemansuhan program subsidi sementara itu sebenarnya telah menimbulkan kebimbangan rakyat mengenang nasib mereka untuk menampung beban kos sara hidup semakin melonjak gara-gara inflasi makanan.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah membuat pengumuman mengenai pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram (kg) dan kawalan harga siling ayam serta telur ayam tidak diteruskan bermula 1 Julai depan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan subsidi minyak masak berpaket dikekalkan sebaliknya menegaskan kerajaan tidak memansuhkannya secara keseluruhan.

Ismail Sabri mendakwa trend peralihan subsidi itu perlu diimplementasikan selain mengimbangi situasi semasa dilanda inflasi makanan pada masa yang sama memberi pengajaran kepada pihak yang mengambil kesempatan dengan harga barangan keperluan rakyat disubsidi oleh pihak kerajaan.

Dalam pada itu, program subsidi sementara bermula Ogos tahun lalu adalah dikhususkan selama tiga bulan sahaja untuk membantu rakyat terkesan ketika pandemik virus Covid-19 sebelum ia dilanjutkan setiap tiga bulan, sehingga hari ini.

Kerajaan terpaksa memansuhkan program sementara itu, disebabkan berlaku penyelewengan pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan minyak masak botol bersubsidi itu.

Senario sama ditimpa apabila kerajaan turut menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana anasir kurang bertanggungjawab terus melonjakkan harga makanan mentah itu.

Jelas Malaysia Nanban lagi, walaupun pihak kerajaan melaksanakan peralihan subsidi bagi membantu survival golongan B40 namun minyak masak berpaket didapati telah digunakan secara meluas dalam industri restoran dan makanan.

Akhbar harian itu berkata, kebanyakan restoran makanan dikatakan menggunakan minyak masak berpaket diuntuk menyediakan menu-menu restoran mereka.

Tindakan pemilik-pemilik restoran itu perlu diawasi oleh pihak kerajaan agar mereka tidak menyalahgunakan barang keperluan dikhususkan untuk membantu golongan B40 itu.

Inflasi makanan yang hari demi hari memburukkan kestabilan harga barang keperluan rakyat tetap dipandang serius oleh kerajaan apabila pemansuhan subsidi ditambah nilai dengan bayaran tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Bantuan tunai tambahan itu disalurkan kepada golongan B40 iaitu RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

Ujar Malaysia Nanban bahawa pemansuhan subsidi itu sudah tentu akan melonjakkan lagi harga barangan sebaliknya bantuan tunai tambahan juga tidak dapat meringankan beban golongan B40 secara sepenuhnya.

Pemberian BKM digandakan lagi dengan bayaran tambahan tinggi juga dipercayai bukan satu solusi terbaik untuk meredakan inflasi makanan dan lonjakan harga barang.

Kemakmuran kini dihimpit krisis inflasi makanan harap dapat ditangani dengan segera supaya masa depan pelbagai lapisan masyarakat terjamin.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor