Penduduk minta teliti, cari punca atasi banjir kilat

Pekarangan rumah penduduk di Jalan Perepat masih digenangi air pada Sabtu. (Gambar kecil: Khalil Mohd Atan, Rosli Muhamad)
Pekarangan rumah penduduk di Jalan Perepat masih digenangi air pada Sabtu. (Gambar kecil: Khalil Mohd Atan, Rosli Muhamad)
A
A
A

BANTING - Pihak berkuasa berkaitan diminta segera meneliti dan mencari punca berlakunya banjir kilat di Jalan Perepat dekat sini bagi mengelak kejadian sama berulang.

Seorang penduduk, Khalil Mohd Atan, 65, berkata, banjir kilat pada Jumaat menyebabkan kira-kira 15 rumah terjejas malah ada juga dalam kalangan penduduk yang mengalami kerosakan harta benda.

”Situasi ini membangkitkan persoalan tentang keberkesanan sistem perparitan yang ada dan ini merupakan kali kedua selepas banjir besar melanda pada Disember tahun lalu.

"Oleh itu, pihak berkuasa berkaitan perlu meneliti punca banjir kilat termasuk memastikan sama ada projek pembangunan di kawasan berhampiran yang menjadi punca," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Perepat pada Sabtu.

Sementara itu, jirannya, Rosli Muhamad, 60, berkata, jika tidak diatasi, banjir kilat yang melanda mampu menyebabkan penduduk mengalami kerosakan harta benda secara berterusan.

Rosli menjemur tilam yang basah akibat banjir kilat yang berlaku di Jalan Perepat pada Jumaat.
Rosli menjemur tilam yang basah akibat banjir kilat yang berlaku di Jalan Perepat pada Jumaat.

"Oleh itu, pihak berkuasa berkaitan harus memandang serius isu ini demi keselamatan rakyat dan kerajaan Selangor diminta untuk campur tangan menyelesaikan isu ini," katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 60-an, berkata, bukan sahaja sistem perparitan perlu diberikan perhatian tetapi pembinaan rumah baharu juga perlu dipantau.

"Kita tidak mahu kawasan ini banjir berpunca daripada banyak kawasan perumahan baharu, kita tidak menolak pembangunan namun setiap perancangan perlu kajian termasuk mengambil kira semua kesannya," katanya.

Pada Jumaat, sebanyak 38 keluarga terdiri daripada 151 mangsa dilaporkan terjejas dalam kejadian banjir kilat di daerah Kuala Langat dan Klang.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dilaporkan berkata, bagi daerah Kuala Langat, hujan berterusan sejak jam 2 pagi mengakibatkan kawasan di Telok Panglima Garang dinaiki air secara mendadak.

Menurutnya, lokasi yang terjejas adalah Jalan Perepat, Jalan Mengkuang 56; Taman Dato Hormat serta Jalan Telok Mengkuang.