Sila log masuk terlebih dahulu.

Lebih 14,000 koperasi rekod RM150 bilion aset terkumpul

Muslimin (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 peringkat negeri Kelantan Sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini pada Sabtu.
Muslimin (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 peringkat negeri Kelantan Sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini pada Sabtu.
A
A
A

LEBIH 14,000 koperasi di seluruh negara kini mempunyai aset terkumpul sebanyak RM150 bilion sepanjang 100 tahun kewujudannya di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Dalam tempoh itu, keseluruhan ahli koperasi kini direkodkan berjumlah kira-kira tujuh juta orang.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya berkata, jumlah itu membuktikan kepercayaan rakyat terhadap gerakan koperasi.

Menurut beliau, koperasi boleh memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan ternakan.

"Kita memberi pengiktirafan kepada koperasi aktif melalui pemberian sumbangan atau geran sehingga RM300,000," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Kelantan Sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada perasmian berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Negeri Kelantan, Saiful Adli Abu Bakar dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia negeri Kelantan, Zainudin Mohamed.

Muslimin turut memberi contoh, Koperasi Wawasan Malaysia Berhad kini mmpunyai aset lebih RM1 bilion.

Sementara itu, Muslimin memaklumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyasarkan untuk menambah lebih 500 buah kedai koperasi (Coopmart) di seluruh negara bagi membantu menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setakat ini terdapat 400 Coopmart di seluruh negara menerusi pelbagai jenis koperasi.