'Tangani kenaikan harga barang atau berdepan kemarahan rakyat'

Gambar kecil: Mohd Hidayat
Gambar kecil: Mohd Hidayat
A
A
A

KEMAMAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kemaman menggesa kerajaan mengambil langkah lebih drastik bagi mengatasi isu kenaikan harga barang yang kini membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Ketua AMK Kemaman, Mohd Hidayat Mat berkata, isu kenaikan harga barang yang tidak terkawal mutakhir ini membawa kepada satu lagi krisis yang terpaksa dihadapi rakyat negara ini.

"Krisis kenaikan harga barang semakin parah. Kenaikan harga ayam, minyak masak, telur dan juga barang keperluan lain menambah lagi perit rakyat yang sudah sedia terbeban dengan masalah-masalah lain.

"Walaupun isu kenaikan harga barang merupakan isu sejagat, kerajaan perlu bertindak pantas bagi mengatasinya atau perlu berdepan dengan 'kemarahan' rakyat," katanya dalam kenyataan disini, pada Sabtu.

Menurut Mohd Hidayat, beliau tidak menolak gelombang kebangkitan rakyat sekiranya isu berkenaan gagal ditangani dengan baik.

"Kami akan bersama rakyat untuk bangkit menentang 'kezaliman' yang telah dibuat oleh kerajaan pada hari ini, kezaliman dan tirani harus tumbang dan keadilan dan kesaksamaan harus dijulang," ujarnya.

Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan akan menghapuskan subsidi minyak masak botol dan menaikkan harga siling ayam dan telur manakala subsidi minyak masak peket (1kg) akan terus dikekalkan.

Bagaimanapun, pada Jumaat kerajaan menarik balik keputusan pengapungan harga ayam dan akan menetapkan harga siling baharu disamping tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air.