Bayar RM25, makan durian sampai kenyang

Pengunjung menikmati durian kampung di Hab Pengedaran FAMA Negeri Sembilan.
Pengunjung menikmati durian kampung di Hab Pengedaran FAMA Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Hanya membayar RM25 seorang bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, orang ramai berpeluang menikmati durian kampung yang disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Hab Pengedaran FAMA Negeri Sembilan di sini.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) FAMA negeri dan usahawan bimbingan FAMA itu diadakan selama dua hari bermula Jumaat.

Selain itu turut ditawarkan untuk pembelian durian udang merah (D175), musang king (D197) dan IOI dari Raub, Pahang yang dijual antara RM25 hingga RM59 sekilogram.

Ketua RPKP, Azhar Mohamad Buang berkata, program berkenaan yang pertama kali diadakan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati durian yang bukan saja ditawarkan dengan harga munasabah tetapi juga berkualiti.

Azhar
Azhar

"Kami bawakan buah durian kampung dari kebun-kebun di sekitar kawasan Rembau dan Tampin yang mana kebanyakannya dari masyarakat Orang Asli.

"Ini durian kampung premium dan semestinya orang ramai akan berpuas hati dengan jumlah bayaran dikenakan kerana buah yang disediakan dipilih dalam kalangan terbaik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada masa sama katanya, program itu bagi membantu usahawan memasarkan produk durian mereka.

Menurutnya, sambutan diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan dan pengunjung dijangka bertambah pada Sabtu.

Sementara itu, pengunjung, Abdul Hafiz Musa, 38, berkata, program itu memberi peluang kepadanya sekeluarga menikmati durian berkualiti dengan harga berpatutan.

"Bagusnya buah-buah disediakan semuanya elok dan kita juga boleh pilih sendiri.

"Bagi saya untuk bayaran RM25 itu, sangat berbaloi dan harapnya pihak FAMA boleh anjurkannya setiap kali musim durian," katanya.