Lakukan saringan awal elak risiko kanser

Dr Erina (kiri) memberi penerangan kepada Che Nora mengenai pap smear ketika Kempen Cakna Kesihatan Wanita dan Keluarga pada Jumaat.
Dr Erina (kiri) memberi penerangan kepada Che Nora mengenai pap smear ketika Kempen Cakna Kesihatan Wanita dan Keluarga pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Ramai wanita penghidap kanser di negeri ini mengalami komplikasi serius kerana tidak mendapatkan saringan awal untuk mengesan penyakit itu.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Erinna Mohamad Zon berkata, ada di antara mereka yang menemui pakar ketika kanser sudah berada pada tahap tiga dan empat.

"Mereka sepatutnya mendapatkan saringan awal selain rawatan dan nasihat daripada pakar serta individu berpengalaman jika sudah dikesan mengalami kanser," katanya ketika ditemui pada Kempen Cakna Kesihatan Wanita dan Keluarga di sini pada Jumaat.

Justeru, Dr Erinna menasihatkan wanita terutama golongan berisiko tinggi mendapatkan saringan awal seperti pap smear untuk mengesan kanser selain memilih makanan sihat.

Tambah beliau, ramai wanita kini berhadapan penyakit kanser serviks, ovari dan rahim.

"Wanita yang berisiko kanser serviks ialah mereka yang mempunyai jangkitan papilloma viruses (HPV),

"Kanser ovari pula mungkin boleh menyerang wanita yang mempunyai sejarah keluarga dan tidak pernah hamil manakala kanser rahim membabitkan wanita obesiti, mengalami haid pada usia awal dan lambat menapous," katanya.

Kempen Cakna Kesihatan Wanita dan Keluarga adalah di bawah program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (Kris) anjuran KPT di bawah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian dengan kerjasama Klinik Kesihatan Ketereh, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, Unit Tabung Darah Hospital Pasir Mas dan Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (Rehak).

Sementara itu, peserta program yang juga seorang guru, Johana Hassan, 46, berkata, pengesanan awal kanser perlu untuk wanita bagi menjaga kesihatan terutama bertujuan mencegah penyakit itu.

Menurut ibu kepada lima anak berusia 10 hingga 20 tahun itu, ujian pap smear merupakan kaedah terbaik memeriksa kesihatan berkaitan wanita.

Seorang lagi peserta, Che Nora Che Ibrahim, 48, berkata, sebelum ini beliau takut untuk melakukan pap smear kerana pernah menerima maklumat yang salah.

"Ada yang kata kita akan alami pendarahan dan sakit tetapi itu semua tidak benar. Tidak sampai lima minit saya sudah mengetahui keputusannya," katanya.

Ibu kepada empat anak berusia 11 hingga 21 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana saringan yang dilakukan kali pertama itu tidak mengesan sebarang gejala.