Nombor plat kenderaan yang menyusahkan!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan cukup suka melihat nombor-nombor plat kenderaan. Naik seronok dan ralit pula apabila huruf dan angka nombor plat yang ‘fancy’ itu berjaya dibaca dan membina satu perkataan tertentu.

Secara peribadi Merak Jalanan tabik dengan kesungguhan mereka yang sanggup labur wang membida nombor plat. Selain dilihat bergaya dan berbeza, tentu sahaja nombor plat itu membawa makna tertentu dalam hidup mereka.

Apabila ada yang sanggup berhabis untuk sesuatu yang mereka suka, bermakna mereka mampu. Maklum saja, setiap nombor plat yang dibida pasti mahal harganya apatah lagi untuk nombor pilihan yang lebih istimewa.

Tak ada salahnya kalau mampu tetapi menjadi satu kesalahan pula apabila ada pemilik kenderaan yang terlebih kreatif menggunakan nombor plat ‘fancy’ dengan niat supaya makna di sebalik nombor plat itu lebih terserlah dan benar-benar menjadi.

Teringat satu video yang pernah tular dan dikaitkan dengan sebuah kenderaan berjenama mewah disaman kerana menggunakan nombor pendaftaran yang sukar dibaca. Mereka lupa nombor plat yang kabur dan mengelirukan tidak boleh digunakan dan salah di sisi undang-undang.

Namun apa yang berlaku, penggunaan nombor ‘fancy’ ini semakin menjadi-jadi walaupun terang-terangan mereka tidak ikut peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bermakna mereka sanggup disaman berkali-kali hanya untuk penuhi kepuasan hati.

Merak Jalanan ada sebab mengapa nombor plat kenderaan jadi isu. Baru-baru ini, seorang rakan Merak Jalanan yang menunggang motosikal terlibat kes langgar lari. Kaki kanannya patah, tetapi kerana sukar membaca nombor plat kereta itu, akhirnya dia gagal memberi keterangan lengkap di balai polis. Kebetulan pula kawasan itu tiada kamera litar tertutup.

Kepuasan segelintir pemandu yang menyusahkan pengguna jalan raya lain!