X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Polis kesan dua gadis hilang di Taman Putri

Nur Diana hilang semasa berkunjung ke rumah bapa saudaranya di Taman Putri, Kulai, pada 17 Mac lalu.
A
A

KULAI - Dua gadis dilaporkan hilang dalam dua kes berasingan di Taman Putri di sini selepas masing-masing tidak pulang ke rumah sejak Mac dan awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, remaja perempuan pertama, Nur Diana Mohammad Rizal, 19, yang tinggal di tingkat tiga, Blok 10, taman itu, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 17 Mac lalu.

"Remaja berkenaan sebelum itu meminta izin untuk pergi ke rumah bapa saudaranya di tingkat 11, blok yang sama di taman berkenaan.

"Ibu gadis itu menghubungi anaknya untuk bertanyakan bila dia mahu balik dan remaja terbabit memberitahu akan balik sebentar lagi.

"Selepas itu ibunya cuba menghubungi anaknya lagi namun gagal. Pada jam 8.30 malam, ibunya menerima pesanan ringkas daripada anaknya yang menyatakan dia berada dalam keadaan selamat dan jangan bimbang akan keselamatan dirinya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beng Yeow berkata, sehingga laporan polis dibuat, remaja tersebut masih belum pulang dan ibunya sudah berusaha mencari serta mengesan gadis itu di merata tempat namun gagal.

Jelasnya, mangsa hilang itu memiliki ketinggian 1.56 meter, mempunyai bentuk badan kurus, muka bulat, hidung mancung, berambut panjang perang dan lurus serta berkulit kuning langsat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa boleh menghubungi Balai Polis Kulai menerusi talian 07-6632222 sambungan 6419 atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Aspar Satari menerusi talian 019-7736485," katanya.

Beng Yeo berkata, seorang lagi gadis, Norpreeta Muhammad, 18, dilaporkan hilang pada 11 Jun lalu ketika dia bersama-sama keluarganya berkunjung ke rumah ibu saudaranya di Jalan Sri Putri 2/9, taman itu.

"Ibu dan keluarganya telah pergi ke rumah kakaknya bagi menghadiri majlis perkahwinan. Selepas itu, anak perempuan pengadu telah keluar dari rumah dengan membawa kad pengenalannya dan pengadu tidak pasti ke mana arah tujunya.

"Ibunya cuba menghubungi remaja berusia 18 tahun itu tetapi gagal dihubungi. Sehingga laporan polis dibuat, remaja perempuan terbabit masih belum pulang," katanya yang turut memaklumkan alamat Norpreeta adalah di Rumah Pangsa Damai Tropicana Selata, Petaling Jaya, Selangor.

Ujarnya, mangsa mempunyai ketinggian 1.67 meter, bentuk badan kurus, muka bulat, hidung mancung dan bertindik sebelah kanan, rambut hitam panjang lurus dan berkulit kuning langsat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa boleh menghubungi Balai Polis Kulai menerusi talian 07-6632222 sambungan 6419 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Jaafar Wahab menerusi talian 017-7974026," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!