Utamakan kebajikan peneroka, bukan kepentingan BOD FGV

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyelar Mesyuarat Agung Tahunan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) FGV Holding Berhad (FGV) pada Khamis yang didakwa fokus meluluskan usul membayar elaun mereka sahaja dan bukan membincangkan kepentingan peneroka.

Beliau berkata, tindakan itu satu pengkhianatan kepada peneroka dan sepatutnya mesyuarat berkenaan perlu menumpukan untuk memberi penyelesaian terhadap masalah hutang, pendapatan yang tidak terjamin, pembangunan kebun dan tanam semula dihadapi peneroka.

"Mengapa saya katakan ahli BOD FGV mengkhianati peneroka-peneroka Felda? Sebabnya daripada sembilan agenda mesyuarat agung itu pada hari ini, agenda nombor dua hingga enam difokuskan hanya kepada meluluskan usul untuk membayar elaun ahli-ahli BOD FGV.

"Elaun-elaun yang dibayar kepada ahli-ahli BOD FGV amatlah tinggi dan lumayan sekali. Jumlah elaun tahunan yang dibayar kepada ahli-ahli BOD itu kelihatan 'lucah' jika dibandingkan dengan kehidupan sukar peneroka-peneroka Felda.

"Agenda ketujuh dan kelapan mesyuarat agung ini ialah melantik semula enam ahli BOD FGV yang sepatutnya bersara. Nama mereka diusulkan supaya dilantik semula. Mereka ini akan terus menikmati elaun-elaun lumayan daripada FGV," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, FGV yang dimiliki sebahagian besar sahamnya oleh Felda perlu berfungsi membantu Felda dan kerajaan dalam menolong peneroka, generasi kedua dan ketiga Felda mengatasi masalah sosioekonomi di tanah rancangan itu.

Katanya, pada 2019 kerajaan Persekutuan diteraju Pakatan Harapan (PH) telah membentangkan kertas putih di Parlimen untuk menyelamatkan peneroka, Felda dan FGV daripada kerugian serta hutang yang besar menerusi suntikan berbilion ringgit.

"Jadi, amat malang dan sungguh tidak bertanggungjawab jika ahli-ahli BOD FGV pada mesyuarat agung mereka itu hanya membincang, membentang dan meluluskan elaun-elaun mereka sendiri," katanya.

Justeru beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh perlu campur tangan dalam perkara ini supaya tidak membenarkan ahli-ahli BOD FGV secara tamak dan tidak amanah mengaut faedah dan ganjaran untuk diri sendiri.

"Rakyat Felda dan anak-anak mereka perlukan pembelaan. Penyelewengan ahli-ahli BOD FGV perlu ditamatkan segera," katanya.