Penganggur mengaku tidak bersalah menyamar polis

Kevin Cornelius (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan menyamar sebagai polis.
Kevin Cornelius (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan menyamar sebagai polis.
A
A
A

IPOH - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas tuduhan menyamar sebagai polis, Isnin lalu.

Tertuduh, C Kevin Cornelius, 41, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan dengan menyamar sebagai anggota polis di Bukit Kledang, Menglembu kira-kira jam 8 pagi, Isnin lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan THC (tetrahydrocannabinol) ke dalam badan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun selain perlu menjalani pengawasan tidak lebih tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.