1,000 maut gempa kuat gegar Afghanistan

Struktur rumah penduduk musnah selepas gegaran kuat di daerah Gayan di wilayah Paktika pada Rabu. - Foto AFP
Struktur rumah penduduk musnah selepas gegaran kuat di daerah Gayan di wilayah Paktika pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

GARDEZ - Angka korban gempa berkekuatan 5.9 magnitud menggegar wilayah sempadan terpencil Afghanistan mencecah sekurang-kurangnya 1,000 orang.

“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati lebih 600 cedera dan ratusan rumah diperbuat daripada lumpur musnah,” kata Timbalan Menteri Pengurusan Bencana, Sharafuddin Muslim pada Rabu.

Menurutnya, sebahagian besar kematian yang disahkan berlaku di wilayah Paktika.

“Jumlah kematian dijangka meningkat di beberapa perkampungan di lokasi terpencil di kawasan pergunungan,” ujarnya.

Susulan insiden itu, pihak berkuasa telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk mengerahkan helikopter untuk membantu mangsa cedera serta menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Pemimpin puak di wilayah Paktika yang merupakan salah sebuah kawasan terjejas gempa memaklumkan pasukan penyelamat bersama penduduk yang terselamat berganding bahu untuk membantu kebanyakan mangsa.

"Ramai lagi mangsa masih terperangkap dan operasi SAR berdepan kesukaran kerana hujan di wilayah tersebut," jelas Ketua Kebudayaan dan Maklumat di Paktika, Mohammad Amin Huzaifa.

Pusat Seismologi Eropah- Mediterranean (EMSC) yang pada mulanya mencatatkan bacaan 6.1 magnitud memberitahu gegaran kuat itu turut dirasai kira-kira 119 juta penduduk di Pakistan, Iran, India dan seluruh Kabul.Jabatan Meteorologi di Islamabad pula mengesahkan gempa itu menggegar sebahagian wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa, namun tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan.

Pegawai kanan Taliban, Anas Haqqani menerusi Twitter menyatakan pemerintah melaksanakan tanggungjawab untuk menangani insiden tersebut mengikut kemampuan mereka, namun amat mengalu-alukan bantuan daripada pertubuhan serta komuniti antarabangsa. - AFP