Syed Saddiq disyaki bersubahat kes wang hilang

Syed Saddiq hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
Syed Saddiq hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penolong penguasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau mengesyaki Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersubahat dengan dua individu berhubung kehilangan wang tunai RM250,000 dari peti besi di kediaman ahli politik itu, dua tahun lepas.

Asisten Superintendan Ahmad Marzuqi Ibrahim, 39, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut berkata, beliau mengesyaki perkara itu kerana hanya Syed Saddiq dan dua individu bernama Siti Nurul Hidayah dan Lim Hooi Sean yang mengetahui kata laluan peti besi.

"Hanya cap jari Syed Saddiq yang ditemukan pada almari dan sekitar kawasan peti besi itu. Saya mengesyaki ketiga-tiga mereka terlibat atau bersubahat di dalam kes kehilangan wang tersebut.

"Saya mengesahkan pada masa itu, saya telah memberikan surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan saya, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diperoleh dari pihak BNM," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali pada hari kedua perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan kelima itu juga mengesahkan berdasarkan hasil siasatannya, tiada kesan umpilan dijumpai pada peti besi dan hanya terdapat kesan cap jari bekas Menteri Belia dan Sukan pada peti besi berkenaan.

"Saya tidak melakukan seberang pengesahan atau siasatan bagaimana YB Syed Saddiq memperoleh wang tersebut kerana siasatan saya ketika itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kecurian dalam bangunan.

"Saya juga mengesahkan YB Syed Saddiq tidak pernah memberitahu wang yang hilang tersebut adalah wang campuran politik. Beliau hanya menyatakan bahawa itu adalah wang simpanan beliau dan juga ibu bapa beliau," katanya.

Terdahulu, Ahmad Marzuqi berkata susulan laporan polis tentang kecurian wang RM250,000 yang dibuat Syed Saddiq pada 29 Mac 2020, beliau telah membuat tangkapan terhadap pembantu rumah ahli politik itu, seorang warga Indonesia bernama Novi Dwi Anggraeni.

"Bagaimanapun, Novi dibebaskan daripada siasatan kerana tiada keterangan dan bukti yang mengaitkannya dalam kes ini. Saya juga mengesahkan tiada kesan pencerobohan di bilik YB Syed Saddiq.

"Saya juga mengesahkan tiada percanggahan terhadap keterangan individu-individu yang telah diambil keterangan berkaitan wang yang hilang itu," katanya.

Sementara itu, saksi pendakwaan ketujuh iaitu Koperal Helmi Abdul Rahman yang menerima panggilan MERS 999 dari Syed Saddiq berkenaan kejadian kecurian itu berkata beliau tidak mengesyaki laporan kehilangan duit yang dibuat adalah palsu.

"Saya juga tidak bertanya kepada Syed Saddiq bila beliau sedar duit tersebut telah dicuri atau hilang," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 4 Julai. - Bernama