Premis judi tular diserbu

Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook memaparkan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah premis di Subang Jaya pada Rabu.
Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook memaparkan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah premis di Subang Jaya pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebuah premis yang tular di media sosial dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian diserbu dalam operasi yang dijalankan di Seksyen 7, Putra Heights di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Khalid Othman berkata, serbuan dijalankan setelah pihaknya mendapati terdapat satu video yang dimuat naik seorang pengguna Facebook memaparkan aktiviti perjudian dalam talian yang dijalankan di premis tersebut.

"Video yang dikesan tular kira-kira jam 9 malam itu memaparkan mengenai aktiviti perjudian dalam talian di premis itu.

"Risikan dan pemantauan yang dijalankan kemudian membawa kepada serbuan di premis tersebut sekali gus berjaya merampas lapan buah komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan lanjut berkaitan aktiviti perjudian itu masih dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, beliau berkata, statistik serbuan perjudian dalam talian bermula Januari 2021 sehingga Mei 2022 mencatatkan sebanyak 191 serbuan.

"Serbuan tersebut merangkumi tangkapan seramai 458 individu dan rampasan melibatkan 924 mesin perjudian dalam talian.

"Selain itu, jumlah rampasan melibatkan wang tunai berjumlah RM31,486," katanya.

Abdul Khalid berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti perjudian haram.

"Orang ramai turut dinasihatkan agar sama sekali tidak terlibat dalam kegiatan ini.

"Selain itu, orang ramai turut dialu-alukan untuk bersama dengan polis membanteras aktiviti ini dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui nombor telefon 03-7062 7100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya)," katanya.